Apa jadi pada skim suri rumah Perkeso, tanya Kula


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kula Segaran mempersoalkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Perkeso yang sepatutnya dimulakan tahun lepas.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2022.

KEMENTERIAN Sumber Manusia mesti menjelaskan apa yang berlaku kepada Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dijanjikan tahun lepas, kata ahli Parlimen DAP M. Kula Segaran hari ini.

Mengulas mengenai Menteri Sumber Manusia M. Saravanan, beliau berkata skim itu, yang dimulakan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sepatutnya dimulakan tahun lepas seperti yang dijanjikan oleh kerajaan semasa.

“Menteri Sumber Manusia M Saravanan telah berjanji untuk memperkenalkan skim itu pada Januari tahun ini namun hingga kini tiada perkembangan mengenainya.

“Skim itu boleh menjadi hadiah sempurna kerajaan kepada semua ibu di negara ini sempena sambutan Hari Ibu hari ini.

“Sekiranya pelaksanaan itu diumumkan sempena Hari Ibu hari ini, ia adalah satu pengiktirafan yang sempurna terhadap sumbangan mereka kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Kulasegaran, yang merupakan menteri sumber manusia semasa pemerintahan PH, menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya segera meneliti perkara ini.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan “tidak boleh mengecewakan isteri dan ibu kita”.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu mendakwa sekiranya PH masih berkuasa, skim itu akan menjadi kenyataan.

“Semasa pentadbiran Pakatan Harapan, draf perundangan telah disiapkan dan ia akan meliputi berjuta-juta suri rumah.

“Saya boleh katakan bahawa jika PH masih berkuasa, perlindungan dan faedah ini akan sampai kepada mereka semua,” katanya.

Tahun lepas, M Saravanan berkata suri rumah dan bapa yang tinggal di rumah di bawah umur 55 tahun akan dilindungi oleh skim SKSSR.

Beliau berkata SKSSR akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial dengan menyediakan perlindungan hilang upaya dan ilat kepada kedua-dua kumpulan itu.

Katanya penyertaan dalam skim itu adalah secara sukarela.

Di bawah SKSSR, caruman peserta adalah RM10 sebulan, yang boleh dibuat terlebih dahulu atau prabayar untuk tempoh 12 bulan berturut-turut.

Perlindungan dan faedah yang ditawarkan oleh SKSSR termasuk faedah hilang upaya kekal, pencen ilat, faedah perubatan, pencen sara hidup dan elaun kehadiran tetap.

Turut disediakan kemudahan untuk pemulihan fizikal atau vokasional dan faedah pengebumian. – 8 Mei, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen