SUDAH tiba masanya perkhidmatan polis pengiring untuk menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat dimansuhkan, kata Steven Sim Chee Keong.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata menteri dan timbalan menteri sudah mempunyai “pilot” atau petugas trafik dan polis pengiring.
“Jangan bazir tenaga kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat kerja outrider.
“Tak kira siapa kerajaan, mansuhkan khidmat outrider polis kepada wakil rakyat!” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.
Bekas timbalan menteri belia dan sukan itu berkata mereka yang mengejar masa harus mengatur perjalanan dengan lebih baik agar sampai dalam tempoh diingini.
“You nak kejar masa, you keluar awal, kalo tak, you selesaikan masalah kesesakan lalu lintas supaya semua pengguna jalan raya boleh sampai ke destinasi dengan selesa. Tak perlu outrider,” kata Sim lagi.
Catatannya itu dibuat susulan video tular semalam yang menunjukkan dua anggota polis mengiringi seorang lelaki dipercayai anak kepada Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim di Pulau Pinang.
Awal hari ini Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis sedang menyiasat kes itu.
Beliau berkata kertas siasatan tatatertib ke atas dua anggota polis yang dilihat dalam video itu sudah dibuka. – 8 Mei, 2022.
Komen