Ramasamy dakwa serangan terhadap Nazlan untuk bebaskan Najib


Pemimpin DAP P Ramasamy berkata adalah malang bagi hakim yang cekap dan berani menjadi sasaran pendakwaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2022.

PENDAKWAAN dan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali mesti dilihat dalam konteks wujudnya usaha secara rahsia untuk membebaskan Najib Razak, kata P Ramasamy hari ini.

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkata adalah malang bagi hakim yang “cekap dan berani” menjadi sasaran pendakwaan.

“Hanya kerana keputusannya terhadap Najib tidak disenangi oleh beberapa tokoh berkuasa dalam negara.

 “Adakah siasatan terhadap Nazlan kerana jumlah wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya atau kerana beliau hakim yang mempengerusikan perbicaraan rasuah Najib mengakibatkan sabitannya?

“Najib kalah rayuannya di Mahkamah Rayuan dan perkara itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan bagi keputusan muktamad.

“Tidak pasti bila keputusan itu akan dibuat, tetapi satu perkara yang pasti, terdapat percubaan untuk memburukkan hakim dengan harapan percubaan sedemikian, jika berjaya, boleh mempengaruhi penghakiman Pahkamah Persekutuan.

“Ia adalah pelan yang dirancang baik oleh mereka dalam kem Najib untuk memburukkan Nazlan sebelum Mahkamah Persekutuan membuat keputusan,” kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan.

Pada 2020, Nazlan yang ketika itu hakim di Mahkamah Tinggi, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta kepada Najib kerana rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu tahun lepas. Najib sedang merayu kes itu di Mahkamah Persekutuan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membuka kertas siasatan terhadap Nazlan pada 23 April, susulan laporan yang dibuat oleh Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) berdasarkan dakwaan yang terkandung dalam keterangan pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner di mahkamah Amerika Syarikat.

PSUAM mendakwa keterangan Leissner mengaitkan Nazlan dengan urus niaga 1MDB yang melibatkan Tanjung Energy Holdings Sdn Bhd pada 2012. Ketika itu, Nazlan adalah sebahagian daripada Maybank.

Pasukan peguam Najib juga cuba memburukkan Nazlan dengan mendakwa beliau mempunyai konflik kepentingan dalam kes 1MDB.

Pada masa sama, penulis blog Raja Petra Kamurudin juga mendakwa Nazlan mempunyai kekayaan yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Ramasamy berkata beliau bimbang sekiranya siasatan SPRM yang dijalankan akan menimbulkan keraguan munasabah terhadap integriti dan kejujuran Nazlan.

“Jika ini berlaku, maka ada kemungkinan besar peguam Najib boleh membuat rayuan yang berkesan atas alasan Nazlan adalah hakim “tidak jujur”. – 8 Mei, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen