Belia Malaysia perlu hati-hati tawaran kerja luar negara, kata menteri


Menteri Luar berkata, perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa sedia memberikan nasihat serta membantu warga Malaysia yang berada dalam kesusahan. – Gambar Facebook, 7 Mei, 2022.

RAKYAT Malaysia terutama golongan belia perlu berhati-hati dengan tawaran kerja di luar negara supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan pekerjaan, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, ada beberapa kes di negara jiran Kemboja baru-baru ini rakyat Malaysia diperdaya dengan tawaran pekerjaan palsu.

“Rakyat Malaysia perlu berhati-hati dengan tawaran pekerjaan yang dibuat dengan pelbagai cara, ada yang WhatsApp terus ke nombor telefon pencari kerja. Kalau boleh rakyat Malaysia periksa betul-betul (kesahihan) tawaran kerja,” katanya pada sidang media di Wisma Putra hari ini.

Saifuddin berkata, perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia memberikan nasihat mengenai perkara itu serta membantu warga Malaysia yang berada dalam kesukaran.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang memerlukan maklumat berhubung kesahihan syarikat luar boleh mendapatkan bantuan Kedutaan Malaysia di negara masing-masing atau perkhidmatan konsular kementerian.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan 16 rakyat Malaysia yang mendakwa menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja selamat tiba di Malaysia dari Phnom Penh bulan lalu.

Beliau berkata, masih ada lebih 20 lagi mangsa ditahan di Phnom Penh dan menunggu untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, beberapa negara menzahirkan kesediaan menerima lebih ramai pelarian Rohingya di Malaysia untuk proses penempatan semula di negara masing-masing.

Beliau berkata, proses penempatan semula pelarian ke negara ketiga terjejas sejak dua tahun lalu susulan pandemik Covid-19.

“Ada indikasi ada negara setuju lipatgandakan penerimaan jumlah pelarian Rohingya (yang sekarang berada di Malaysia),” katanya apabila diminta mengulas mengenai isu pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada depoh imigresen sementara Sungai Bakap, Kedah, bulan lalu.

Saifuddin berkata, beliau juga bertemu pengarah UNHCR di Kuala Lumpur bagi membincangkan proses penempatan semula Rohingya.

Setakat Mac tahun ini, UNHCR menganggarkan terdapat kira-kira 103,810 Rohingya berada di Malaysia. – Bernama, 7 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen