UNIT pembahagian pusaka di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) akan dinaik taraf kepada jabatan menjelang akhir tahun ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata ketika ini rundingan berkaitan peruntukan serta perjawatan dengan jawatan tertinggi ketua pengarah sedang diadakan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Saya melihat keperluan cukup mendesak untuk menaik taraf Unit Pembahagian Pusaka kepada jabatan kerana banyak kes tertunggak membabitkan permohonan dan pembahagian harta pusaka,” katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kampung Sireh, Kota Bharu hari ini.
Pada 3 Mac lalu, Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu memaklumkan Dewan Rakyat sebanyak 72,348 kes pembahagian harta pusaka tertunggak direkodkan sehingga 31 Disember lalu dengan Kedah dan Selangor masing-masing mencatat jumlah tertinggi, 13,423 dan 10,358 kes.
Beliau juga dilaporkan berkata, sebanyak 43,519 kes pembahagian harta pusaka dengan nilai keseluruhan RM11.2 bilion diselesaikan pada 2021, dengan nilai kutipan fi RM14.5 juta sebagai pendapatan Kerajaan Persekutuan. – Bernama, 7 Mei, 2022.
Komen