Saravanan kongsi amalan baik Malaysia tangani buruh paksa di Washington


Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata akan berkongsi amalan baik Malaysia dalam menangani isu buruh paksa semasa lawatan kerja ke Washington bulan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2022.

MENTERI Sumber Manusia M Saravanan akan berkongsi amalan baik Malaysia dalam menangani isu buruh paksa semasa lawatan kerja ke Washington, seiring dengan lawatan perdana menteri ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas Asean – AS dari 10 hingga 13 Mei ini.

Dalam kenyataan hari ini, Saravanan berkata beliau juga akan meneroka peluang kerjasama dua hala dengan kerajaan Amerika Syarikat sebagai antara usaha dalam memastikan produk dan syarikat Malaysia tidak terus dikaitkan dengan isu buruh paksa.

“Lawatan kerja ini bertujuan untuk membincangkan isu-isu berhubung buruh paksa susulan daripada lawatan kerja saya ke Geneva dan London bagi mendeposit ratifikasi protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berhubung buruh paksa iaitu Protokol 29 dan perbincangan dengan United Kingdom untuk isu yang sama baru-baru ini.

“Saya dijadualkan bertemu dengan beberapa jabatan di AS yang berkait rapat dengan isu buruh paksa seperti Jabatan Buruh AS serta Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, termasuk satu sesi berasingan dengan Responsible Business Alliance,” katanya. – Bernama, 7 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen