Dr Mahathir maklum terma selesai saman Apandi, kata Idrus


PEGUAM Negara Idrus Harun hari ini berkata beliau telah memaklumkan Dr Mahathir Mohamad mengenai terma penyelesaian berkaitan saman yang difailkan Mohamed Apandi Ali terhadap bekas perdana menteri itu dan kerajaan Malaysia.

Beliau berkata berikutan penyelesaian itu, plaintif iaitu Apandi telah menarik balik tindakan undang-undangnya berhubung penamatan kontraknya sebagai peguam negara.

Idrus berkata mahkamah kemudiannya membatalkan tuntutan plaintif tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

“Saya hanya boleh mengesahkan bahawa Tun (Dr Mahathir) menulis baru-baru ini untuk mendapatkan maklumat mengenai syarat penyelesaian. Saya sudah menjawab untuk memaklumkan kepadanya syarat penyelesaian,” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Semalam Dr Mahathir, menerusi hantaran di laman Facebook melahirkan rasa terkejut dan tidak bersetuju dengan cara kes saman itu yang diselesaikan di luar mahkamah dan mendakwa beliau tidak dimaklumkan mengenai terma penyelesaian walaupun merupakan saksi utama dalam kes tersebut.

“Saya menulis kepada Peguam Negara (Idrus). Saya berasa kerajaan tidak sepatutnya tunduk memandang bahawa tindakan penamatan perkhidmatan Mohamed Apandi mengikut semua urusan dan kuasa yang ada pada kerajaan.

“Semasa saya beri keterangan kepada pihak peguam negara bagi persediaan kes saman Mohamed Apandi terhadap saya, saya telah dimaklum bahawa proses penamatan perkhidmatan itu betul dan mengikut prosedur dan Rule of Law,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut membangkitkan persoalan sama ada pampasan perlu dibayar jika tindakan penamatan perkhidmatan Apandi dibuat mengikut undang-undang.

Beliau juga mempersoalkan mengapa terma penyelesaian itu dirahsiakan kerana rakyat berhak mengetahuinya lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan pampasan.

Dr Mahatir juga menegaskan tidak mengaku bersalah dan bersedia untuk tuntutan Apandi diadili di mahkamah.

Pada 13 April lepas,  Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman itu selepas kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut tanpa sebarang pengakuan liabiliti dan terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 18, 20, 21 dan 22 April  2022 untuk perbicaraan kes saman tersebut. – Bernama, 7 Mei, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen