AS siasat 5 kematian, 109 kes penyakit hati misteri babit kanak-kanak


CDC menolak kes misteri itu disebabkan vaksinasi Covid-19 kerana sebahagian besar kanak-kanak terlalu muda untuk diberi vaksin, iaitu bawah lima tahun. – Gambar AFP, 7 Mei, 2022.  

PUSAT Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat 109 kes penyakit hari misteri dipercayai berkait hepatitis melibatkan kanak-kanak, termasuk lima kematian.

Agensi itu dalam laporannya semalam berkata jangkitan turut berlaku di beberapa negara membabitkan ratusan kes, dengan Indonesia minggu ini turut melaporkan tiga kematian.

Semalam, Britain mengumumkan jangkitan hepatitis dalam kalangan kanak-kanak di negara itu meningkat kepada 163 kes, yang majoritinya berumur bawah lima tahun tetapi tiada kes kematian.

“Penyiasat di sini (AS) dan juga di seluruh dunia sedang menyiasat bagi menentukan puncanya,” kata Timbalan Pengarah Penyakit Berjangkit CDC Jay Butler.

Pihak berkuasa kesihatan AS berpendapat kes mungkin dikaitkan dengan gelombang virus dipanggil adenovirus. CDC bagaimanapun belum mengesahkan teori tersebut.

Sebanyak 90% daripada kes yang dikesan di AS dimasukkan ke hospital, dengan 14% memerlukan pemindahan hati. Umur median kes ialah dua tahun dan majoriti pesakit pulih sepenuhnya selepas diberi rawatan.

CDC pada hujung bulan lalu mengeluarkan amaran kepada pihak berkuasa kesihatan supaya memantau kes misteri ini, selain mula memeriksa semula rekod bermula 1 Oktober 2021.

Butler berkata CDC menolak kes disebabkan vaksinasi Covid-19 kerana sebahagian besar kanak-kanak terlalu muda untuk diberi vaksin, iaitu bawah lima tahun. 

Jaundis (penyakit kuning) dan muntah adalah gejala biasa yang dialami kanak-kanak yang dijangkiti penyakit misteri ini. – AFP, 7 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen