Badan Peguam tuntut penjelasan gugur pertuduhan Serba Dinamik


Raevathi Supramaniam

JABATAN Peguam Negara (AGC) perlu menjelaskan mengapa pertuduhan terhadap pegawai tertinggi Serba Dinamik Bhd ditarik balik, kata Badan Peguam Malaysia hari ini.

Naib Presiden Badan Peguam Ezri Abdul Wahab berkata AGC perlu mengambil nasihat pengawal selia kewangan seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi memastikan penalti yang sewajarnya dikenakan.

“Badan Peguam Malaysia bimbang kurangnya ketelusan dalam hal itu akan memberi kesan ke atas integriti tadbir urus dan kawal selia pasaran modal.

“Justeru, Badan Peguam Malaysia memohon AGC membuat pendedahan penuh dan terus terang atas sebab, jika ada, kerana mengeluarkan kompaun kepada Serba Dinamik dan individu yang dituduh dan bukannya meneruskan pendakwaan.

“AGC harus terlibat dalam proses rundingan dengan pengawal selia untuk memastikan penalti yang wajar dikuatkuasakan,” kata Ezri dalam satu kenyataan.

Pada Disember tahun lepas SC memfailkan pertuduhan terhadap pengarah dan pegawai Serba Dinamik mengemukakan maklumat palsu kepada Bursa Malaysia, satu kesalahan di bawah Seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang membawa hukuman penjara maksimum tempoh 10 tahun dan denda maksimum RM3 juta jika sabit kesalahan.

Mereka juga memperoleh waran tangkap terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat dan Pengarah Urusan Kumpulan Mohd Abdul Karim Abdullah.

Bagaimanapun awal bulan ini pertuduhan jenayah itu digantikan dengan kompaun RM3 juta yang dikenakan kepada setiap seorang daripada mereka.

Menurut SC, kompaun itu dikenakan dengan persetujuan bertulis daripada Pendakwa Raya dan selaras dengan kuasa di bawah Seksyen 373(1) CMSA.

Ezri berkata walaupun AGC mempunyai kuasa besar, ia tidak sepatutnya mengetepikan saranan SC untuk mendakwa kerana ia boleh menghakis persepsi orang ramai terhadpa pengawal selia.

“Pengawal selia yang menjalankan tugas berkanun mereka mesti diberi kebebasan untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan terhadap pesalah.

“Kelonggaran sebegini berkemungkinan menimbulkan persepsi negatif terhadap penguatkuasaan terpilih oleh pihak berkuasa dan keputusan pengawal selia boleh ditolak. Kami berpendapat pendapat yang dipertimbangkan oleh pengawal selia dalam kes ini, SC dan Bursa Malaysia harus dipelihara dan dilaksanakan dengan sewajarnya,” katanya.

Berikutan kegagalan Serba Dinaik, pengerusi eksekutif pengawal selia kewangan Syed Zaid Syed Jaffar Albar meletak jawatan pada 29 April.

Peletakan jawatannya diikuti dengan peletakan jawatan tiga pengurus kanan pengawal selia tetapi SC menjelaskan ketiga-tiga peletakan jawatan itu tidak dikaitkan dengan peletakan jawatan Syed Zaid. – 6 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen