Malaysia buka jalan raih semula pasaran minyak sawit EU, kata menteri


Zuraida Kamaruddin berkata, inilah masanya minyak sawit mendapatkan semula keyakinan daripada pembeli Eropah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2022.

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mengambil peluang akibat ketegangan politik di Eropah dan kekurangan minyak masak untuk mempromosikan minyak sawit Malaysia, sekali gus membuka jalan bagi komoditi itu mendapatkan semula bahagian pasarannya terutamanya di Kesatuan Eropah (EU).

Menteri berkenaan Zuraida Kamaruddin berkata konflik di Ukraine sejak 24 Februari lalu menjejaskan bekalan global minyak sayuran yang ketara kerana ketidaktentuan eksport melalui Laut Hitam yang mengakibatkan harga minyak sayuran/masak menjadi lebih tinggi.

“Konflik Russia-Ukraine menyebabkan kekurangan minyak bunga matahari dan minyak biji sesawi kerana kedua-dua negara menyumbang 80% daripada eksport global.

“KPPK percaya ketegangan di Laut Hitam akan memberi impak positif kepada industri minyak sawit Malaysia berikutan banyak negara Eropah yang bergantung kepada minyak bunga matahari, kini sedang beralih kepada minyak sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuraida berkata, Ukraine dan Russia sedang memasuki masa kritikal untuk penanaman bunga matahari yang sepatutnya bermula pada April, bagaimanapun perang yang berpanjangan boleh memberi kesan kepada musim penanaman.

Eksport minyak bunga matahari dari Ukraine dan Russia menyumbang 10% daripada semua eksport minyak masak global, katanya.

Beliau berkata, penganalisis pasaran kini menjangkakan peningkatan permintaan minyak sawit dari rantau EU dalam masa terdekat memandangkan kuantiti eksport kacang soya yang lebih rendah dari Brazil, Paraguay, Russia dan Ukraine serta pengurangan minyak bunga matahari dari Russia, Kazakhstan dan Ukraine.

Menurutnya, selain langkah terbaharu Indonesia selaku pengeksport minyak sawit terbesar dunia untuk meluaskan skop larangan eksport bahan mentah bagi minyak masak termasuk minyak sawit mentah dan ditapis, harga global minyak sayuran berkemungkinan kekal tinggi untuk separuh pertama 2022.

“Saya percaya inilah masanya untuk minyak sawit mendapatkan semula keyakinan daripada pembeli Eropah walaupun komoditi ini menerima publisiti yang kurang baik sebelum ini,” katanya.

Menurut Zuraida, beliau mengarahkan agensi berkaitan di bawah KPPK seperti Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk melaksanakan kempen agresif supaya dapat mengisi jurang di pasaran global.

Katanya, agensi itu dengan kerjasama KPPK perlu memastikan minyak sawit Malaysia kekal sebagai pilihan utama di pasaran global untuk jangka panjang, terutamanya kepada pengguna yang sebelum ini terdedah terhadap propaganda negatif.

“Sudah tiba masanya untuk kita meningkatkan usaha menentang propaganda yang memburukkan kredibiliti minyak sawit dan perlu mempamerkan pelbagai manfaat kesihatan minyak emas ini,” katanya. – Bernama, 6 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen