Banjir kilat di Melaka, paras air sungai naik


Pengoperasian semula Melaka River Cruise akan dimaklum selepas keadaan banjir kembali pulih, menurut pengurusan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2022.

OPERASI Melaka River Cruise (MRC) terpaksa dihentikan sementara hari ini berikutan paras air Sungai Melaka terlalu tinggi akibat hujan lebat sejak pagi tadi.

Pengurusan MRC berkata, pengoperasian semula perkhidmatan itu akan dimaklumkan selepas keadaan kembali pulih.

“Hujan lebat menyebabkan paras air sungai Melaka tinggi serta arus deras dan cuaca juga tidak menentu. Berikutan itu, operasi bot di Melaka River Cruise terpaksa dihentikan sementara sehingga keadaan kembali pulih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beberapa kawasan di sekitar daerah Melaka Tengah turut dilanda banjir kilat selepas hujan berterusan sejak jam 7 pagi ini.

Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Melaka Tengah dalam kenyataan pagi ini memaklumkan hujan lebat selama hampir empat jam menyebabkan tujuh kawasan terjejas di daerah itu.

“Laluan di Batu Hampar ditutup sementara untuk semua kenderaan selain jalan utama di Ayer Keroh juga terjejas dengan bencana banjir kilat ini.

“Kawasan lain yang terjejas Kampung Telok, Kampung Pulau Kelapa, Kampung Sungai Putat, Taman Peringgit Ria dan Bukit Cina,” katanya.

Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sehingga jam 10 pagi ini selain paras air di kebanyakan kawasan juga semakin pulih. – Bernama, 6 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen