Hampir 15 juta kematian Covid-19, kata WHO


Menurut anggaran WHO, jumlah korban keseluruhan akibat Covid-19 kira-kira 14.9 juta antara 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2021. – Gambar fail EPA, 6 Mei, 2022.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis memaklumkan hampir 15 juta kematian di seluruh dunia dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan pandemik Covid-19 menjelang akhir 2021.

Menurut anggaran WHO, jumlah korban keseluruhan akibat Covid-19 kira-kira 14.9 juta antara 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2021.

Angka itu berdasarkan perbezaan antara jumlah dan anggaran kematian jika tanpa wabak berdasarkan data tahun sebelumnya.

Selain kematian akibat jangkitan Covid-19 secara langsung, “kematian tidak langsung” adalah keadaan kesihatan lain yang menyebabkan orang ramai tidak dapat mengakses sistem kesihatan dan rawatan, kerana wabak itu, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut WHO, 84% kematian tertumpu di kawasan Asia Tenggara, Eropah dan Amerika, dan kira-kira 68% di 10 negara di seluruh dunia.

Negara berpendapatan sederhana menyumbang 81% daripada 14.9 juta kematian, manakala negara berpendapatan tinggi dan berpendapatan rendah masing-masing menyumbang 15% dan 4%.

Angka kematian global lebih tinggi dalam kalangan lelaki (57%) berbanding wanita (43%) dan lebih tinggi terhadap golongan warga emas.

“Data ini bukan sahaja menunjukkan kesan pandemik tetapi keperluan supaya semua negara melabur dalam sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan bagi mengekalkan perkhidmatan kesihatan kritikal semasa krisis, termasuk sistem maklumat kesihatan lebih kukuh,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan. – Bernama, 6 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen