KERAJAAN tidak patut menyelesaikan di luar mahkamah kes penamatan perkhidmatan Apandi Ali sebagai peguam negara dan merahsiakan terma dan pampasan terlibat, kata Dr Mahathir Mohamad.
Beliau terkejut dengan perkembangan itu kerana dimaklumkan bahawa tindakan ke atas Apandi dibuat mengikut undang-undang sewaktu memberi keterangan kepada Peguam Negara Idrus Harun.
“Saya telah dimaklum bahawa proses penamatan perkhidmatan itu betul dan mengikut prosedur dan kedaulatan undang-undang.
“Mereka maklumkan bahawa saya dan kerajaan telah memberi nasihat betul pada Yang di-Pertuan Agong supaya Tan Sri Apandi Ali ditamatkan perkhidmatan,” kata bekas perdana menteri itu.
Bantahannya disuarakan dalam surat kepada Idrus baru-baru ini selepas keputusan 13 April berhubung penyelesaian di luar mahkamah bagi kes tersebut.
“Saya menulis pada peguam negara. Saya tidak bersetuju dengan cara penyelesaian tersebut dibuat.
“Saya berasa kerajaan tidak sepatutnya tunduk memandang bahawa tindakan penamatan perkhidmatan Apandi mengikut semua urusan dan kuasa yang ada pada kerajaan.”
Beliau juga kecewa kerana terma penyelesaian itu juga dirahsiakan darinya dan juga dari masyarakat umum sedangkan ia merupakan kes besar.
“Saya tidak faham kenapa terma penyelesaian harus dirahsia dari saya serta rakyat. Rakyat berhak tahu. Lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan pampasan.
“Apakah pampasan perlu dibayar jika tindakan dibuat mengikut undang-undang? Di mana prinsip kedaulatan undang-undang?”
“Saya berpendapat penyelesaian memberi pampasan besar itu untuk seorang yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik adalah amat dikesali di waktu mana sekalipun.”
Dr Mahathir menegaskan beliau tidak melakukan kesalahan sewaktu memecat Apandi dan sedia untuk tampil ke mahkamah agar saman tersebut diadili.
Beliau juga berkata, tindakan menamatkan perkhidmatan itu dibuat kerana melihat Apandi yang merupakan peguam Umno sejak sekian lama tidak dapat bertindak bebas.
Malah, Apandi awal-awal lagi membebaskan perdana menteri keenam Najib Razak dari sebarang tindakan undang-undang berhubung kes 1MDB sebelum tuduhan dibuat.
Tegas Dr Mahathir, tindakan itu jelas satu perbuatan berat sebelah memandangkan Najib kemudian didapati bersalah dan kini sedang menunggu keputusan rayuan.
“Dia tidak mungkin dapat berlaku adil dalam siasatan terhadap 1MDB dan salahlaku Najib. Malahan dia telah kata bahawa Najib tidak bersalah kerana kononnya tiada kes, sebelum apa-apa tindakan siasatan dibuat.
“Sikap berat sebelah Apandi ini terbukti apabila Najib didapati bersalah oleh hakim Mahkamah Tinggi dan Rayuan dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.”
Saman Apandi pada September 2020 menuntut mahkamah mengisytihar tindakan Dr Mahathir menamatkan khidmatnya sebagai peguam negara pada 2018 tidak mengikut undang-undang.
Beliau menuntut RM2,233,599.36 sebagai ganti rugi khas, teladan dan juga ganti rugi am untuk dinilai oleh mahkamah.
Peguamnya Baljit Singh Sidhu pada waktu itu menyatakan saman tersebut diselesaikan di luar mahkamah dan kebenarannya direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir.
Menurut Baljit, saman diselesaikan kerana tuntutan Apandi difailkan ke atas kerajaan dan juga Dr Mahathir Mohamad dalam kapasiti sebagai perdana menteri.
Apandi yang merupakan bekas hakim dilantik sebagai peguam negara pada 27 Julai 2020 dan kontraknya sepatutnya tamat pada 26 Julai 2018.
Menurutnya, ketua setiausaha negara memaklumkan dalam satu surat sebelum pilihan raya umum ke-14 bahawa tempoh perkhidmatannya akan dilanjutkan tiga tahun.
Dalam satu surat bertarikh 5 Jun 2018, ketua setiausaha negara kemudian memaklumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenan penamatan khidmatnya.
Bagaimanapun tiada apa-apa dokumen diberikan berhubung perkenan Yang di-Pertuan Agong, katanya.
Dalam perkembangan kes itu, kerajaan mempertahankan bahawa Dr Mahathir tidak berperanan dalam penamatan khidmat Apandi dan tindakan itu dibuat mengikut undang-undang. – 6 Mei, 2022.
Komen