Industri hotel perlu setahun untuk pulih, kata persatuan


Noel Achariam

Industri perhotelan antara yang terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19 dua tahun lalu dan 150 ahli MAH terpaksa gulung tikar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2022.

INDUSTRI hotel dijangka pulih secara beransur-ansur selepas kerajaan menarik balik sekatan ke atas prosedur operasi standard (SOP), kata presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) N Subramaniam.

Beliau berkata, secara realistik, ia akan mengambil masa lebih setahun untuk kembali seperti keadaan sebelum pandemik.

“Ia mungkin mengambil masa kira-kira setahun untuk pulih dan kami perlu menunggu, jika kami mahu melihat kadar penginapan di hotel meningkat antara 60% hingga 80%,” kata Subramaniam kepada The Malaysian Insight.

Subramaniam berkata, ketika ini hotel hampir penuh kerana musim perayaan Hari Raya.

Ini katanya, berikutan pembukaan sempadan negeri dan kelonggaran SOP.

“Kita tidak boleh ramalkan berapakah peningkatan kadar penginapan dalam beberapa bulan akan datang. Kita hanya akan tahu selepas tempoh Hari Raya.

“Pada musim perayaan ini kebanyakan hotel di pantai timur, Melaka, Pulau Pinang dan negeri lain hampir penuh.”

Subramaniam juga berkata, industri hotel bergantung kepada pelancong asing dan mereka masih belum tiba di negara ini dalam jumlah yang besar.

“Kebanyakannya, kita dapat lihat beberapa pelancong datang dari Singapura, Thailand dan sebilangan kecil pelancong dari negara lain.”

Tegasnya, SOP daripada kerajaan perlu dipermudahkan untuk difahami dan dipatuhi oleh pelancong antarabangsa.

“Dengan SOP dan arahan yang jelas, pihak berkuasa akan membantu perkhidmatan lancar dan cekap kepada semua yang berkenaan.”

Pada April, Malaysia membuka semula sempadan susulan peralihan fasa ke endemik dengan kerajaan melonggarkan SOP.

Tidak akan ada lagi sekatan ke atas pergerakan orang yang tidak divaksin, waktu pembukaan dan perhimpunan besar-besaran manakala penjarakan fizikal tidak lagi diperlukan ketika solat berjemaah.

Ketika pandemik, industri pelancongan paling terjejas dan terdesak untuk menjana pendapatan. Pasaran domestik satu-satunya harapan industri untuk bertahan sehingga pelancongan antarabangsa pulih.

Kekurangan tenaga kerja

Subramaniam juga berkata, terdapat kekurangan tenaga pekerja ketika ini dalam industri perkhidmatan.

“Ramai berpindah ke industri lain dalam dua tahun kebelakangan ini.

“Lebih-lebih lagi, kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 turut memburukkan lagi keadaan.

“Kami difahamkan banyak hotel memohon pekerja asing, tetapi mereka masih belum mendapat kelulusan pihak berkuasa.”

Beliau berkata, MAH juga merancang untuk menghantar satu lagi memorandum kepada kerajaan untuk mempertimbangkan melanjutkan skim subsidi gaji selama enam bulan lagi memandangkan industri perhotelan paling terjejas sejak wabak bermula.

“Kerajaan juga boleh menyokong industri perhotelan dengan mengadakan majlis dan seminar mereka di hotel.”

Subramaniam berkata, MAH mempunyai kira-kira 1,000 ahli dan sejak pandemik kira-kira 150 hotel ditutup. – 7 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen