Buli sudah jadi kebiasaan di hospital kerajaan, kata doktor junior


Elill Easwaran Raevathi Supramaniam

Doktor junior berkata isu buli dalam kalangan mereka sudah menjadi kebiasaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2022.

KEMATIAN seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang baru-baru ini telah membawa isu buli dalam kalangan doktor junior dalam perkhidmatan kerajaan ke hadapan.

The Malaysian Insight bercakap dengan doktor junior bagi mengetahui sama ada dakwaan ini benar dan mereka yang ditemu bual berkata adalah satu kebiasaan junior dibuli oleh senior mereka sama ada berkenaan kerja, bangsa atau jantina mereka.

Ramai yang berkata mereka tidak bersuara kerana takut akan kesan dan juga hakikat bahawa mereka hanyalah kakitangan kontrak.

Seorang doktor junior dari Kuala Lumpur berkata buli di hospital kerajaan terhadap doktor pelatih sangat berleluasa.

“Majoritinya adalah penderaan lisan di mana ada kalanya isu kecil boleh diperbesarkan,” kata doktor junior yang hanya mahu dikenali sebagai Tan.

Beliau menambah beberapa doktor senior akan memarahi seorang doktor pelatih di hadapan pesakit yang mana beliau merasakan ia sangat melemahkan semangat doktor pelatih dan pesakit berkenaan.

Tan berkata penderaan fizikal jarang berlaku tetapi kes berkenaan wujud.

“Sama ada didera secara seksual atau fizikal ia memang wujud dalam sistem.

“Ramai doktor pelatih terlalu takut untuk bersuara kerana ia boleh membahayakan kerjaya mereka. Bagi kebanyakan mereka masa depan terletak di tangan pendera,” kata Tan. 

Tan juga berkata setiap hari seorang doktor pelatih akan bekerja sehingga 16 jam dan keletihan sehingga mereka tidak boleh melakukan kerja dengan cekap yang seterusnya menyebabkan mereka dimarahi dan dibuli.

“Apabila kami membawa perkara ini kepada doktor senior mereka akan mengatakan ia adalah perkara biasa dan memberitahu kami untuk bersabar kerana semua orang melaluinya,” katanya.

Pada Selasa seorang doktor pelatih dari Hospital Pulau Pinang maut selepas terjatuh dari bangunan pejabat di Jalan Datuk Keramat di George Town.

Jabatan negeri mengesahkan arwah ditempatkan di Hospital Pulau Pinang pada 4 April 2022 dan ditemui meninggal dunia pada 17 April.

Beberapa ahli Parlimen menggesa Kementerian Kesihatan dan menterinya Khairy Jamaluddin untuk melihat perkara itu secara serius.

Exco kesihatan Pulau Pinang Norlela Ariffin menggesa kementerian melihat keadaan kerja doktor pelatih di hospital kerajaan dengan mendakwa ramai daripada mereka tertakluk kepada keadaan kerja “tidak berperikemanusiaan”.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkata beliau percaya doktor yang meninggal dunia itu adalah mangsa buli dan penghinaan.

Seorang lagi doktor pelatih dari Pulau Pinang mengesahkan bahawa buli semasa tempoh latihan adalah perkara biasa.

“Kami mempunyai tempat untuk mengadu atau membangkitkan isu ini dan tindakan akan diambil terhadap pihak terlibat tetapi kemudian kami akan dilabel dan ditanda oleh doktor senior,” katanya.

Beliau berkata buli datang dalam pelbagai bentuk seperti jantina, bangsa, penampilan dan juga prestasi.

“Memandangkan kami masih dalam kontrak, kebanyakannya disenaraihitamkan. Jadi (kebanyakan masa) kami akan biarkan semua orang memijak kami,” katanya.

Pelaku biasanya pakar bedah, pakar, pembantu perawatan kesihatan atau doktor pelatih senior.

“Tetapi boleh jadi sesiapa sahaja jika anda adalah junior,” katanya. – 6 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen