Kulasegaran gesa Putrajaya adakan sidang khas Parlimen


Raevathi Supramaniam

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran berkata sikap berdiam diri kerajaan terhadap perkara itu menunjukkan ketidakikhlasan terhadap memorandum persefahaman yang ditandatanganinya bersama pembangkang September lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2022.

PUTRAJAYA mesti mengadakan sidang Parlimen khas untuk menangani “serangan” terhadap badan kehakiman, kata M Kulasegaran hari ini.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata sikap berdiam diri kerajaan terhadap perkara itu menunjukkan ketidakikhlasan terhadap memorandum persefahaman yang ditandatanganinya bersama pembangkang September lalu.

“Ahli Parlimen kerajaan akan mempunyai peluang untuk mengatakan ia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang cubaan menjejaskan keyakinan badan kehakiman kita kerana sikap berdiam diri secara mutlak menunjukkan ketidakikhlasannya terhadap MOU,” kata Kulasegaran dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata sidang khas itu juga akan membolehkan ahli Parlimen berdebat dan menerima pakai resolusi semua parti untuk menangani serangan terhadap badan kehakiman dan menegakkan pengasingan kuasa.

Katanya, walaupun artikel 127 perlembagaan melarang Parlimen membincangkan kelakuan hakim, terdapat peruntukan untuk memintas perkara ini.

Gesaan Kulasegaran hadir susulan komen Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bulan lepas bahawa kritikan terhadap badan kehakiman melampaui batas.

Terdapat dakwaan terhadapnya bahawa beliau bersetuju untuk campur tangan dalam kes mahkamah bekas perdana menteri Najib Razak dan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang membawa kepada pejabat ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan membuat laporan polis menafikannya.

Pejabat itu berkata tiada asas kepada dakwaan ketua hakim negara bersetuju untuk mempercepatkan kes terhadap dua ahli politik itu.

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi dan kini Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mempengerusikan perbicaraan SRC International Najib juga membuat laporan minggu lepas berhubung artikel berita yang mendakwa beliau disiasat kerana wang yang tidak dijelaskan dalam akaun banknya.

Pejabat ketua pendaftar berkata Nazlan menafikan “dakwaan palsu, tidak berasas dan berniat jahat” yang bertujuan menjejaskan kredibilitinya sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

Majlis Peguam sedang mempertimbangkan untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa bagi membincangkan perkara itu dan kemungkinan menganjurkan bantahan. – 5 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen