LIMA belas anggota polis di Melaka akan dipindahkan keluar dari negeri itu dalam rombakan besar-besaran selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar rangkaian perlindungan pusat urut dan judi haram.
Antara yang terlibat ialah ketua polis daerah (OCPD) Melaka Tengah dan Jasin yang akan dipindahkan ke ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar yang mengadakan pertemuan dengan pegawai tinggi polis Melaka petang ini memberitahu seramai 15 anggota polis akan dipindahkan keluar, termasuklah dua OCPD dan tujuh lagi anggota yang ditahan SPRM.
Difahamkan selain daripada sembilan anggota yang ditahan itu, beberapa orang pegawai dari bahagian perjudian dan anti maksiat negeri itu juga akan terlibat dalam rombakan itu.
“Dua OCPD itu dipindahkan serta merta selepas penahanan mereka. Mereka dipindahkan ke Bukit Aman. Dua pegawai dari Bukit Aman akan menggantikan mereka. Mereka akan melapor diri untuk bertugas minggu depan,” kata Khalid.
Menyentuh isu sarang judi dan pusat urut haram di negeri itu, Khalid turut mendesak kerajaan negeri Melaka dan majlis bandaraya memainkan peranan mereka untuk menghentikan aktiviti itu.
Dia berkata yang majlis bandaraya mempunyai bidang kuasa untuk menutup premis yang melanggar peraturan serta merta.
“Tidak ada keperluan untuk memberikan mereka masa sehingga hujung tahun untuk menutup perniagaan mereka, sekiranya mereka didapati tidak memenuhi peraturan atau menyalahguna lesen yang diberikan, premis mereka sepatutnya ditutup,” katanya.
Katanya lagi pihak berkaitan juga perlu menghentikan pengeluaran lesen untuk perniagaan hiburan keluarga.
“Jangan keluarkan lesen. Ia boleh disalahguna. Sebelum ini pun kita tidak menyokong permohonan sebegitu,” kata Khalid.
Walaupun majlis bandaraya mempunyai kuasa untuk meluluskan lesen, mereka memerlukan maklum balas polis sebelum membuat keputusan. Tetapi walaupun tanpa kelulusan polis, majlis bandaraya masih boleh meluluskan permohonan kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa mereka.
Polis Melaka menjadi tumpuan ramai sejak dua minggu lepas selepas dua ketua polis daerahnya ditahan kerana didakwa melindungi sarang judi dan pusat urut haram di Melaka.
Turut ditahan ialah dua ketua CID dari daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah.
Mereka adalah sebahagian daripada 13 orang yang ditahan SPRM untuk membantu siasatan dalam skandal duit perlindungan itu.
SPRM setakat ini sudah merampas RM1.44 juta dalam bentuk wang tunai dan simpanan dalam akaun bank milik suspek.
Salah seorang suspek ditahan mempunyai RM800,000 yang disembunyikan dalam bilik stor rumahnya. – 26 Mei, 2017.
Komen