Konvensyen perkukuh PKR hadapi pilihan raya, kata Yusmadi


Yusmadi Yusoff berkata anggota PKR perlu bersatu supaya Anwar Ibrahim disokong pasukan yang jitu bagi menghadapi PRU15.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2022.

KONVENSYEN PKR yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini akan menjadi medan menyatukan dan menguatkan semula parti, kata seorang penyelia program Yusmadi Yusoff.

Beliau dilaporkan Suara Keadilan sebagai berkata, ia sebagai usaha mengukuhkan gerakan reformasi presiden parti itu, Anwar Ibrahim bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Menurut laporan itu, ia dilaksana oleh pertubuhan Generasi Keadilan yang digerakkannya bagi menjayakan konvensyen dengan tema Muafakat Generasi, Penerus Reformasi itu.

Bekas ahli Parlimen Balik Pulau itu berkata, anggota parti perlu bersatu supaya Anwar disokong pasukan yang jitu bagi menghadapi pilihan raya umum tersebut.

“Masa untuk menyatukan semua generasi dan fraksi gerakan reformasi. Muafakat antara generasi dan fraksi penentu penerusan agenda reformasi.

“Kekuatan institusi adalah prasyarat kepada kejayaan agenda mana-mana institusi,” katanya seperti dipetik dalam laporan lidah rasmi PKR itu.

Generasi Keadilan disebut dalam laporan itu sebagai pertubuhan yang berusaha menjaga kebajikan aktivis parti dan kepada golongan yang memerlukan.

Dalam konvensyen berkenaan, pertubuhan itu antara lain akan menjayakan acara Dua Dekad Reben Putih.

Perpecahan dalam PKR selepas pemilihan terakhir parti itu terus membarah dan turut berkait dengan krisis dan perpecahan dalaman di antara pemimpin Pakatan Harapan.

Perbalahan itu juga menjadi antara pencetus gerakan politik Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan gabungan itu tumbang pada Februari 2020 selepas mentadbir kira-kira 22 bulan.

Seterusnya beberapa ahli Parlimen diketuai bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali berserta bekas naib presidennya Zuraida Kamaruddin disingkir. – 5 Mei, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen