Peguam mesti pertahan badan kehakiman, kata bekas presiden Badan Peguam


Peristiwa baru-baru ini menunjukkan pengabaian sepenuhnya pihak tertentu terhadap prinsip kebebasan badan kehakiman, kata barisan peguam terkemuka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2022.

ENAM bekas presiden Badan Peguam Malaysia menggesa ahlinya sekali lagi bangkit tanpa gentar mempertahankan institusi kehakiman.

Barisan peguam terkemuka dalam petisyen kepada ahli badan itu berkata, peristiwa baru-baru ini menunjukkan pengabaian sepenuhnya pihak tertentu terhadap prinsip kebebasan badan kehakiman.

Tambah mereka, Ini berlaku melalui tindakan yang hanya boleh disifatkan sebagai ugutan terhadap institusi penting ini.

“Kami ahli Badan Peguam menggesa Majlis Peguam untuk menganjurkan tunjuk perasaan secara aman pada kadar segera bagi menghantar mesej jelas kepada mereka yang cuba mengganggu badan kehakiman.

“Jadi, ugutan ini tidak boleh diketepikan kerana ia adalah pelanggaran kedaulatan undang-undang secara terang-terangan. Kita mesti bertindak sekarang!” kata mereka dalam petisyen itu.

Bekas presiden tersebut ialah Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Lim Chee Wee, Mah Weng Kwai dan Steven Thiruneelakandan.

Pada 27 April, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata kritikan terhadap hakim dan badan kehakiman sejak kebelakangan ini melampaui batas.

Beliau berkata walaupun hakim terbuka kepada kritikan, terutamanya apabila ia berkaitan dengan kes berprofil tinggi, serangan baru-baru ini terlalu banyak.

“Sejak akhir-akhir ini, badan kehakiman menangani kes berprofil tinggi, berkepentingan awam. Biasalah hakim menerima kritikan daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

“Bagaimanapun, kritikan yang dilemparkan terhadap hakim dan badan kehakiman sejak kebelakangan ini, pada pendapat saya, melampaui batas,” kata Tengku Maimun.

Sebelum ini dilaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan wang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan wang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya. – Gambar Mahkamah Persekutuan, 4 Mei, 2022.

Nazlan adalah hakim yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Blog Malaysia Today menyiarkan dakwaan Nazlan sedang disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Sebelum menjadi hakim, Nazlan pernah menjadi peguam am dan setiausaha syarikat Maybank.

Nazlan membuat laporan polis terhadap blog itu sambil berkata tuduhan itu berniat jahat dan tidak berasas serta bertujuan mencemarkan kredibilitinya sebagai hakim.

Pada 2014, Majlis Peguam menganjurkan ‘Walk for Peace and Freedom 2014’ di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Acara itu menyaksikan kira-kira 600 ahli Majlis Peguam dan wakil NGO menyertai gerakan solidariti untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. – 4 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen