Jangan buat spekulasi kematian doktor pelatih, kata Jabatan Kesihatan Pulau Pinang


Ravin Palanisamy

Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi tentang kematian mengejut Pegawai Perubatan Siswazah yang dilaporkan media, meminta supaya hormat keluarga mendiang. – Gambar Google Maps, 4 Mei, 2022.

POLIS sedang menyiasat kematian mengejut seorang doktor pelatih Hospital Pulau Pinang, kata Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) hari ini.

Pengarahnya Dr Ma’arof Sudin berkata polis telah mengarahkan bedah siasat dijalankan, yang akan dibuat di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang.

“Laporan lengkap siasatan masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal. Laporan akhir akan dikemukakan kepada pihak polis untuk membantu siasatan mereka.

“Memandangkan kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan bagi menghormati keluarga mendiang, JKNPP memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam portal berita The Vibes melaporkan seorang doktor pelatih di hospital berkenaan maut selepas terjatuh dari bangunan pejabat di Jalan Datuk Keramat di George Town.

Jabatan negeri mengesahkan mendiang yang meninggal dunia pada 17 April sebagai Pegawai Perubatan Siswazah yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang pada 4 April 2022.

Beberapa penggubal undang-undang telah menggesa Kementerian Kesihatan dan menterinya Khairy Jamaluddin untuk meneliti secara serius perkara tersebut.

Exco kesihatan Pulau Pinang Norlela Ariffin hari ini menggesa kementerian melihat keadaan kerja doktor muda di hospital kerajaan, mendakwa ramai daripada mereka tertakluk kepada keadaan kerja yang “tidak berperikemanusiaan”.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy berkata beliau percaya doktor pelatih yang meninggal dunia itu adalah mangsa buli.

“Kematian mengejut seorang doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang telah mendedahkan keadaan latihan di hospital dan hospital kerajaan yang lain di negara ini.

“Polis mungkin labelkan kematian akibat bunuh diri sebagai ‘kematian mengejut’, tetapi perlu ada penyiasatan tentang punca kematian itu.

“Ia tidak boleh diketepikan sebagai kematian mengejut kerana ada dakwaan buli dan ganggu doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang,” katanya. – 4 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen