Lihat aspek buli kes kematian mengejut doktor pelatih, kata Ramasamy


KEMATIAN mengejut seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang baru-baru ini boleh dielakkan jika pihak pentadbiran memandang serius kes buli terhadap doktor pelatih, kata P Ramasamy hari ini.

Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu berkata, memalukan apabila hospital kerajaan tidak serius menangani kes buli terhadap doktor pelatih muda.

“Kematian mengejut seorang doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang telah mendedahkan keadaan latihan di hospital dan hospital kerajaan yang lain di negara ini.

“Polis mungkin labelkan kematian akibat bunuh diri sebagai ‘kematian mengejut’, tetapi perlu ada penyiasatan tentang punca kematian itu.

“Ia tidak boleh diketepikan sebagai kematian mengejut kerana ada dakwaan buli dan ganggu doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ramasamy berkata demikian sebagai respons kepada laporan berita semalam mengenai seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan pejabat di Jalan Datuk Keramat di George Town.

Polis sedang menyiasat perkara itu sebagai kematian mengejut namun tidak menolak kemungkinan kes itu diklasifikasikan semula jika bukti baharu dibongkar.

Pelatih itu baru sahaja dihantar ke hospital tiga minggu sebelum kematiannya.

Sebelum ini beberapa doktor berkata buli dalam dunia perubatan adalah isu utama.

Ramasamy juga berkata kematian mengejut seorang doktor pelatih ini adalah yang kedua. Yang pertama berlaku dua tahun lepas.

Pada Disember 2020, dilaporkan seorang doktor yang telah meletak jawatan di Hospital Pulau Pinang telah meninggal dunia secara mengejut.

“Jika cara dan sifat latihan tidak ditangani, lebih banyak insiden malang boleh dijangka,” kata pemimpin DAP itu.

Beliau berkata sudah tiba masanya pentadbiran hospital awam serta Kementerian Kesihatan membuat sesuatu bagi menangani isu buli dan memalukan doktor pelatih muda. – 4 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen