PKFZ mahu lebih cekap dengan pendigitalan, kapasiti lebih besar, kata pengerusi


Khoo Gek San

ZON Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) akan mengembangkan kapasitinya dan mendigitalkan operasi untuk meningkatkan kecekapan, kata pengerusinya Lawrence Low.

Pelan pendigitalannya untuk mengautomasikan operasi akan disiapkan tahun depan, manakala RM1.2 bilion akan dibelanjakan untuk pembangunan semula gudang dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi memenuhi keperluan industri logistik yang berkembang pesat, kata Low kepada The Malaysian Insight.

“Kita perlu meninggalkan model yang sudah lapuk.”

Pelan pembangunan semula itu meliputi 512 gudang yang akan diperbesarkan kepada tiga kali ganda kapasiti semasa.

“Dengan kapasiti lebih besar, kami boleh meningkatkan perolehan kepada RM120 juta daripada RM40 juta sedia ada,” kata Low, yang menjadi pengerusi PKFZ semasa pandemik Covid-19 pada 2020.

Tawaran untuk pelan pembangunan semula dipelawa tahun lalu dan PKFZ kini sedang menyemak tender.

Keputusan akan dibuat bulan ini, kata Low.

Pelan pendigitalan berterusan akan disiapkan tahun depan dan akan meningkatkan kecekapan operasi sebanyak 200%, tegasnya.

“Gudang di PKFZ selepas 17 tahun, masih menggunakan operasi manual dan kertas kerja.

“Dan penyewa melaporkan kepada kami terdapat terlalu banyak kerenah birokrasi.

“Kami tidak mengekalkan transformasi digital,” tambah Low.

Di bawah pelan pendigitalan, beberapa operasi akan diautomasikan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data raya.

“Untuk meningkatkan lagi keselamatan operasi perniagaan PKFZ, kami akan menggunakan perisian pengecaman muka dan plat lesen serba baharu, menyediakan papan pemuka fakta dan sistem analisis perniagaan serta merealisasikan operasi dan proses dalaman tanpa kertas untuk menjadi lebih mesra alam.”

Kos operasi PKFZ dikekalkan dalam julat tertentu tetapi menyaksikan peningkatan mulai tahun ini, jelas Low.

Ia disebabkan peningkatan dalam kos pembaikan, penyelenggaraan dan menaik taraf, keadaan yang dijangkakan Low berterusan bagi tiga hingga lima tahun lagi kerana kemudahan di zon perdagangan bebas mengalami haus dan lusuh.

PKFZ dicadangkan oleh kerajaan pada 2002 tetapi dibelenggu dengan kos yang melambung sepanjang pembangunannya, menyebabkan anggaran awal untuk projek RM1.957 bilion meningkat kepada RM4.947 bilion.

Walaupun siasatan rasuah dan pertuduhan difailkan berhubung skandal itu, termasuk terhadap dua bekas menteri pengangkutan, tiada seorang pun pernah disabitkan kesalahan.

PKFZ, yang terletak bersebelahan Pelabuhan Klang, menduduki tempat ke-12 di dunia bagi volum pemprosesan pada 2019. – 4 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen