472 kawasan di Lembah Klang terjejas bekalan air


Kawasan terjejas bekalan air termasuk Petaling (172), Hulu Langat (54), Sepang (196), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27). – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2022.

LEBIH 400 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan air petang ini selepas dua loji rawatan air di Selangor ditutup sementara pagi tadi susulan pencemaran bau di Jenderam Hilir, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Dalam satu kenyataan, Air Selangor berkata pihaknya menghenti tugas sementara loji rawatan air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi setelah pihak Luas mengesan pencemaran bau di muka sauk stesen pam air mentah Jenderam Hilir.

“Berikutan henti tugas LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi ini, sebanyak 472 kawasan dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 3 petang hari ini,” kata Air Selangor.

Kawasan berkenaan meliputi lima daerah iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan).

Senarai lengkap boleh disemak di laman Facebook Air Selangor.

Air Selangor juga memberitahu mereka sedang berusaha untuk mengurangkan kesan gangguan bekalan air kepada pengguna yang terlibat.

“Bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal,” kata kenyataan itu.

Air Selangor pada masa sama menasihati pengguna supaya menyimpan air secukupnya sehingga bekalan air dapat disalurkan semula. – 3 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen