ISN, IJN pantau, bantu pemulihan Azizulhasni


Azizulhasni Awang mengharumkan nama negara apabila meraih pingat perak acara keirin pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020. – Gambar fail EPA, 3 Mei, 2022.

SATU pasukan petugas khas ditubuhkan bagi memantau dan membantu proses pemulihan jaguh berbasikal negara Mohd Azizulhasni Awang yang sebelum ini selamat menjalani pembedahan jantung pada 21 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli berkata pasukan yang terdiri daripada pakar dari ISN dan Institut Jantung Negara (IJN) itu akan terus memantau perkembangan Azizulhasni sepanjang tempoh pemulihan.

Menurutnya, pasukan itu juga akan merangka satu program pemulihan berstruktur berdasarkan bukti menggunakan data penting.

“Dengan sokongan perubatan sukan dan sains sukan ISN, kami kena sentiasa berkomunikasi dengan Azizul dan melihat elemen penting dalam program pemulihan ini.

“Ia termasuk kesihatan beliau, aspek pemakanan pemulihan, sokongan keluarga dan rakan, perubahan latihan selepas surgeri serta kordinasi program antara pakar jantung, pakar ISN dan jurulatihnya John Beasley,” katanya.

Ahmad Faedzal turut menjelaskan sokongan dan doa daripada semua pihak amat diperlukan Azizulhasni ketika ini, selain diberi ruang untuk pulih sepenuhnya daripada pembedahan yang dijalani bagi tiga bulan pertama.

Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu menjalani pembedahan jantung terbuka bagi kondisi jantung jarang jumpa dikenali arteri koronari kanan yang menyalur daripada aorta di posisi yang janggal (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne.

Penyakit berbahaya itu membawa risiko serangan jantung dan kematian mengejut jika tidak dirawat segera.

Sementara itu, pakar perunding bedah kanan kardiotorasik merangkap Pengarah Sukan IJN Dr Jeffrey Jeswant Dillon berkata, pemulihan pelumba bergelar ‘The Pocket Rocketman’ itu dibahagikan kepada tiga fasa.

Fasa pertama merangkumi pemulihan daripada pembedahan yang dijangka selama enam minggu, diikuti ‘cardiac rehabilitation’ iaitu rehabilitasi dari segi jantung bagi fasa kedua yang dijangka memakan masa dari enam minggu hingga tiga bulan.

“Fasa terakhir adalah rehabilitasi sebagai atlet. Semua akan berlaku dengan evidence-based melalui team di sini, iaitu ISN, Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan serta team di Melbourne.

“Kami membuat ground work di Melbourne dan berhubung dengan doktor di sana. Azizul mempunyai sokongan perubatan yang baik di sana, selain kami juga mengenal pasti pakar kardiologi sukan di Melbourne untuk bantu pemulihan atlet,” katanya.

Azizulhasni dijangka meneruskan pemulihan di Melbourne bersama keluarganya sehingga hujung tahun ini.

Rancangan memindahkan pusat latihan skuad berbasikal trek kebangsaan ke Velodrom Nasional, Nilai dijangka akan dilaksanakan selepas Sukan Asia Hangzhou 2022 pada September ini. – Bernama, 3 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen