Majlis rumah terbuka Aidifitri PM pada Ahad


Majlis rumah terbuka Aidilfitri PM akan diadakan di Laman Sari, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya bermula jam 10 pagi hingga 4 petang pada Ahad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob menjemput seluruh Keluarga Malaysia untuk menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri pada Ahad ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Ismail Sabri berkata, majlis itu akan diadakan di Laman Sari, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.

“Kita berkumpul dan bersama-sama meraikan Aidilfitri sebagai sebuah keluarga besar, Keluarga Malaysia.

“Insya-Allah banyak juadah enak disajikan, untuk Keluarga Malaysia yang tersayang. Kita jumpa nanti ya…” katanya.

Jabatan Perdana Menteri menerusi hantaran Facebook pada 30 April memaklumkan, semua yang hadir perlu mematuhi prosedur operasi standard terkini semasa fasa peralihan ke endemik dan digalakkan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Hantaran itu turut melampirkan poster panduan pakaian dan maklumat perkhidmatan bas percuma untuk menghadiri majlis.

Berdasarkan poster itu, pakaian yang dibenarkan baju berlengan, seluar panjang, skirt bawah paras lutut dan berkasut manakala pakaian yang dilarang seluar pendek bawah paras lutut, skirt pendek atas paras lutut, baju tidak berlengan, seluar jeans koyak dan selipar.

“Orang ramai hendaklah berpakaian kemas dan sopan. Kegagalan mematuhi etika pemakaian ini boleh mengakibatkan anda tidak dibenarkan memasuki Kompleks Seri Perdana,” menurut petikan di poster itu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal dan media sosial JPM dari semasa ke semasa. – Bernama, 3 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen