Pengusaha tidak setuju Pulau Pinang haramkan rumah inap 


Angie Tan

Rancangan Pulau Pinang haramkan rumah inap di bangunan bertingkat boleh menjejaskan ekonomi, sektor pelancongan dan hartanah negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2022.

TINDAKAN Pulau Pinang melarang sewaan jangka pendek atau rumah inap (homestay) di unit bertingkat adalah tidak adil kepada mereka yang sudah membuat pelaburan dan juga boleh menjejaskan sektor pelancongan serta hartanah negeri, kata kumpulan pengusaha rumah inap tempatan.

Exco perumahan negeri Pulau Pinang Jagdeep Singh pada 28 April mengumumkan rancangan larangan itu yang akan berbentuk garis panduan untuk dilaksanakan oleh majlis tempatan. Garis panduan ini masih perlu disiapkan sebelum larangan berkuat kuasa.

Jagdeep juga berkata keputusan itu dibuat berikutan penerimaan aduan yang kerap daripada penduduk mengenai penyewa yang mengganggu ketenteraman.

Ia akan menjadikan negeri pelancongan popular itu yang pertama di negara ini mengharamkan rumah inap di bangunan tinggi, dan pelabur tempatan berkata masanya tidak sesuai kerana ia serentak dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa selepas dua tahun sekatan pergerakan Covid-19.

Presiden Persatuan Pengusaha Rumah Inap Malaysia (MHOA) cawangan Pulau Pinang Lydia Tan berkata mereka yang sudah melabur dalam unit ini untuk disewa di platform seperti AirBnB, akan kehilangan pulangan pelaburan.

Beliau berkata rumah inap juga membantu ekonomi tempatan Pulau Pinang dengan menyediakan penginapan kepada pengunjung memandangkan banyak hotel di negeri itu tidak dibuka semula selepas mengalami kerugian semasa pandemik.

“Banyak hotel belum dibuka semula. Tanpa rumah inap, bagaimana Pulau Pinang mampu menampung jumlah pelancong yang ramai jika musim puncak,” kata Tan.

Beliau menambah yang rumah inap juga memberi alternatfi kepada pelancong dengan keluarga atau dalam kumpulan besar selain bilik hotel.

“Jika keluarga yang mempunyai 10 orang, adakah mereka mahu membelanjakan duit lebih banyak untuk menyewa lima bilik hotel?”

Elvin Wong, naib presiden peringkat kebangsaan MHOA, berkata beliau mempunyai angka “tidak rasmi” yang menunjukkan bilangan pelancong ke Pulau Pinang adalah lebih berbanding bilangan bilik hotel yang ada.

Tidak semua pengembara ke negeri ini mampu atau mahu tinggal di hotel.

“Jadi semasa musim puncak, hotel boleh menaikkan harga mereka, yang boleh memberi keuntungan kepada mereka dalam  jangka pendek, tetapi bukan dalam jangka panjang.”

Wong menambah yang pelancong boleh menyewa bilik di hotel, tetapi jika ia menelan sebahagian besar daripada bajet percutian, mereka akan mengurangkan perbelanjaan untuk aktiviti lain seperti makan, minum dan hiburan.

Ini seterusnya akan menjejaskan perniagaan dan aktiviti sokongan pelancongan lain, katanya.

Wong juga bimbang negeri lain mungkin mahu meniru keputusan Pulau Pinang untuk mengharamkan sewaan jangka pendek di bangunan tinggi.

“Ia tidak adil kepada industri dan mereka yang sudah melabur, dan ia adalah keputusan yang tergesa-gesa.

“Ia dibuat selepas mendengar aduan berat sebelah daripada penduduk,” kata Wong, sambil menambah kerajaan Pulau Pinang sepatutnya berunding dengan pemain industri juga.

Wong mencadangkan cara lebih baik adalah dengan membenarkan pihak pengurusan bangunan dan penduduk  merangka peraturan mereka sendiri untuk unit sewaan itu.

“Saya tidak menafikan mungkin ada pemilik dan penyewa yang tidak bertanggungjawab. Tetapi masalah sedemikian boleh ditangani pengurusan bangunan dan penduduk dengan peraturan mereka sendiri.

Menurut MHOA, terdapat kira-kira 1,500 unit rumah inap di Pulau Pinang termasuk di Butterworth dan Bukit Mertajam.

Tahun lepas, kerajaan negeri memperkenalkan undang-undang kecil tempatan baharu yang memerlukan platform perkhidmatan penyewaan jangka pendek seperti AirBnb mendapat kelulusan daripada 75% penduduk di sesebuah bangunan sebelum ia boleh beroperasi. 

Kompaun harian sebanyak RM200 akan dikenakan ke atas unit yang beroperasi tanpa kelulusan. – 3 Mei, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen