RUMAH Sejahtera di Bukit Payung, Terengganu, satu-satunya rumah kebajikan warga emas di negeri itu, kini berdepan masalah kekurangan dana selepas peruntukannya dipotong kerajaan negeri, kata Timbalan Penguasanya Shukri Mohammad.
Tujuh kakitangannya juga tidak menerima gaji selama tiga bulan, katanya.
Rumah kebajikan yang beroperasi sejak 1961 itu diuruskan oleh pertubuhan masyarakat Majlis Pusat Kebajikan Semalaysia cawangan Terengganu dengan dana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Setiap tahun ia menerima RM50,200 daripada JKM, yang digunakan untuk belanja makan minum dan urusan kebajikan 15 penghuninya, kata Shukri.
“Bagi urusan bil air, elektrik, penyelenggaraan bangunan termasuk bayaran gaji pekerja kita akan gunakan peruntukan dari SUK Terengganu dan Maidam.
“Cabaran utama kita ialah dana kita terima dari kerajaan negeri ini tidak mencukupi sebab itu dah tiga bulan kita tak dapat bayar gaji pekerja,” katanya, kepada The Malaysian Insight.
Beliau menjelaskan kekurangan dana itu tidak menjejaskan urusan makan minum penghuninya kerana ia dibiayai menggunakan dana tetap JKM.
Menurut Shukri, Rumah Sejahtera biasanya menerima RM34,000 setahun daripada Maidam tetapi tahun lalu hanya menerima RM14,000, sementara SUK Terengganu menyumbang RM15,000.
__full.jpg)
Isu kekurangan dana itu pernah diadu kepada kerajaan negeri namun tiada penjelasan diberi mengenai pemotongan dana tersebut, katanya.
“Kita pernah hantar surat tanya kenapa ada pemotongan tapi kita tak dimaklumkan apa-apa. Dan setakat ini exco kebajikan Terengganu tak pernah datang sini,” tambahnya.
Shukri juga berkata hanya Adun Alur Limbat Arifin Deraman, yang mewakili kawasan Bukit Payong, datang semasa bulan puasa tahun lalu menghantar makanan dan sedikit peruntukan.
Beliau bimbang kerana tidak tahu sampai bila pekerjanya boleh bertahan tanpa dibayar gaji.
Tujuh pekerja ini bertanggungjawab memasak, mengemas, membasuh dan melipat baju untuk 15 penghuni rumah kebajikan itu.
Mereka juga diberi tugas memandikan penghuni warga emas yang tidak boleh menguruskan diri sendiri, selain seorang pemandu yang juga bertugas sebagai tukang kebun yang membersihkan kawasan bangunan.
Tidak semua penghuni dibuang anak
Menceritakan pengalamannya menguruskan rumah kebajikan itu lebih 20 tahun, kata Shukri tidak semua penghuni yang masuk ke rumah kebajikan itu dibuang anak sendiri.
Ada juga yang memilih tinggal di situ kerana enggan tinggal bersama anak atau ahli keluarga lain.
Shukri berkata beliau juga melihat bagaimana ada anak dan waris yang datang melawat tetapi hanya untuk mengambil duit pencen ataupun urusan harta dan tanah.
“Namun sebenarnya kita ada prosedur… warga emas yang masuk rumah kebajikan ini mereka sebenarnya kena tandatangan surat wasiat bagi melindungi mereka sekiranya ada niat salah nak mengambil harta secara paksaan atau tidak sedar.
“Jadi kalau pewaris nak tuntut di mahkamah memang tidak boleh tapi ada juga yang pandai mereka dah suruh buat wasiat siap-siap sebelum warga emas ini masuk ke pusat kebajikan,” katanya.
__full.jpg)
Menurut Shukri, pihaknya hanya menerima warga emas berumur 60 tahun ke atas, boleh mengurus diri sendiri, tidak terlantar di katil, tiada anak dan tidak mengidap penyakit berjangkit.
Kemasukan mereka juga dinilai oleh JKM berdasarkan kriteria yang ditetapkan agensi itu.
Bagaimanapun sejak penularan pandemik Covid-19, rumah kebajikan itu tidak mengambil penghuni baharu kerana peraturan JKM yang menetapkan bilik khas kuarantin untuk penghuni baharu.
“Kita tak dapat buat begitu sebab kita akan ada situasi kekurangan bilik dan satu lagi bukan senanglah kita nak kawal penghuni ini kalau kita arah mereka untuk kuarantin.
“Disebabkan itu kita ambil keputusan untuk tangguh dahulu kemasukan, kita akan tunggu sehingga mungkin ada kelonggaran SOP nanti,” katanya.
Rumah Sejahtera boleh memuatkan 50 penghuni dan penghuni paling tua berumur 99 tahun.
Shukri menjelaskan menguruskan warga emas tidak sukar tetapi memerlukan kesabaran.
“Memang ada perangai mereka yang kita sukar kawal, contoh untuk jaga bab pemakanan sebab kebanyakan mereka ini kencing manis, darah tinggi, sakit jantung.
“Walaupun kita dah larang dan jaga tapi tak tahulah belakang kita mereka senyap-senyap ambil makanan manis. Kita balik yang dimarah doktor kalau darah tinggi naik atau bacaan gula naik,” katanya. – 3 Mei, 2022.
Komen