Terus berwaspada walau SOP Covid-19 dilonggarkan, kata pakar


NEGARA perlu sentiasa berwaspada walau sekatan Covid-19 telah dilonggarkan bermula 1 Mei, kata Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC).

Ianya sangat penting apabila melibatkan mandat pelitup muka, kerana berdasarkan pemerhatian di negara lain, kemasukan ke hospital meningkat dengan ketara selepas mandat dilonggarkan, kata kumpulan itu.

“Berikutan pelonggaran sekatan Covid-19 termasuk pembatalan mandat pelitup muka di Amerika Syarikat dan United Kingdom, jumlah kemasukan pesakit ke hospital meningkat dengan kadar morbiditi yang tinggi.

“Selain itu, hanya 43 peratus kanak-kanak Malaysia berumur 5 hingga 11 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin; dan tiada vaksinasi tersedia untuk kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.

“Oleh itu, kanak-kanak berisiko dijangkiti Covid yang teruk dan polisi kita perlu melindungi mereka.

“Jadi, penghapusan mandat pelitup muka di kawasan luar sejurus sebelum cuti raya harus diamalkan dengan berhati-hati,” kata MHC dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan berkuat kuasa 1 Mei, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak diwajibkan tetapi adalah atas pilihan individu.

Bagaimanapun, katanya pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.

Kini dengan sekatan telah dilonggarkan, MHC berkata terdapat keperluan untuk memantapkan tanggungjawab masyarakat, terutamanya ujian.

“Orang ramai perlu memainkan peranan mereka sebagai rakyat yang bertanggungjawab. Orang ramai perlu melaporkan semua keputusan ujian kendiri melalui MySejahtera dan menjalani kuarantin di rumah jika status mereka pada profil MySejahtera berisiko tinggi atau jika mereka telah dikeluarkan Perintah Pengawasan Rumah (HSO).

Selain itu, kumpulan itu menyeru Kementerian Kesihatan untuk mempertimbangkan semula pelonggaran sekatan jika data menunjukkan bahawa terdapat keperluan untuk itu.

“Jika situasi epidemiologi, virologi atau kesihatan awam berubah, maka dasar itu mesti dipertimbangkan semula.”  – 2 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen