Bukan sebab gaji saja orang ke Singapura bekerja, kata Ramasamy


Raevathi Supramaniam

Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sanggup berulang alik ke republik itu bukan hanya kerana gaji yang tinggi malah juga disebabkan kebebasan lain yang ada pada kelas pekerjanya, kata Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang P Ramasamy. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2022.

UPAH yang naik di Johor tidak akan menahan pekerja di negeri itu daripada berhijrah mencari kerja di Singapura, kata pemimpin DAP P Ramasamy.

Mereka tidak hanya tertarik ke Singapura kerana upah lebih tinggi di negara itu tetapi juga kebebasan lain yang ada pada kelas pekerjanya, kata timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga timbalan ketua menteri.

Ramasamy mengulas kenyataan pemimpin DAP Johor Liew Chin Tong semalam yang berpandangan upah lebih tinggi di Johor akan membantutkan pergerakan pekerja ke Singapura.

“Saya yakin kalau mereka dibayar dua pertiga gaji di Johor, mereka tetap memilih kerja di Singapura,” kata Ramasamy dalam satu kenyataan.

“Liew tidak faham bahawa bukan gaji sahaja tetapi ada perkara lain yang perlu diambil kira kenapa pekerja lebih memilih ke Singapura.

“Ulang alik setiap hari ke Singapura menyusahkan tetapi masih berbaloi berbanding gaji kecil di Johor selain hal perkauman dan politik kaum yang menghina.”

Menurut Ramasamy, bekerja di Singapura juga memberi rakyat Malaysia gaji yang lebih baik dan kebebasan kepada kelas pekerja yang dinikmati di republik itu.

“Dengan simpanan daripada gaji kerja keras, mereka membeli rumah dan melabur dalam hartanah kerana kos sara hidup yang rendah dan tekanan dalam pasaran hartanah.

“Dari satu segi, mereka mendapat manfaat daripada dua dunia,” katanya.

Ramasamy juga berkata gaji tidak boleh dinaikkan begitu saja tanpa mengambil kira kemahiran pekerja.

Semalam Liew berkata pekerja akan kekal di Johor jika dibayar gaji dua pertiga daripada pendapatan di Singapura. 

Adun Perling berkata semua pihak perlu menerima hakikat suasana kerja untuk pekerja di Johor dan di luar Johor tidak banyak membantu ekonomi negeri, malah tidak mampu meningkatkan taraf hidup rakyat Johor. – 2 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen