Pakar ekonomi bimbang pelanggan bank digital terperangkap hutang


Alfian Z.M. Tahir

Pakar ekonomi bersetuju model perbankan digital baharu ini akan memberi manfaat kepada mereka yang tidak dilayan oleh bank tradisional atas apa jua sebab. – Gambar AFP, 3 Mei, 2022.

PENTING buat pelanggan bank digital terutamanya golongan berpendapatan rendah tidak terjebak dalam perangkap hutang yang besar, kata pakar ekonomi.

Sementara itu, pakar lain berkata pengguna tidak mungkin serta merta menyertai tawaran perbankan digital, mereka lebih selesa tunggu dan lihat terlebih dahulu apa yang ditawarkan.

Mereka bagaimanapun bersetuju model perbankan baharu ini akan memberi manfaat kepada mereka yang tidak dilayan oleh bank tradisional atas apa jua sebab.

“Platform perbankan digital ini untuk mereka yang kurang mendapat perkhidmatan dan mereka yang tidak mempunyai akaun bank serta sukar mendapatkan pinjaman daripada bank.

“Jadi platform ini dapat tawarkan bantuan kewangan kepada segmen golongan ini dan saya harap mereka dapat capai objektif mereka,” kata Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School Universiti Putra Malaysia.

Beliau berkata kajian menunjukkan 89% rakyat Malaysia masih menggunakan wang tunai untuk perbelanjaan harian mereka dan hanya 11% menggunakan e-dompet atau perbankan dalam talian.

Bagaimanapun, penggunaan internet mudah alih sangat tinggi, tambahnya.

“Teknologi sepatutnya memudahkan kehidupan kita. Justeru, saya harap ada alternatif pembayaran untuk pengguna masa hadapan kerana pada masa ini lesen perbankan digital masih berasaskan riba atau kadar faedah yang tinggi.

“Kita tidak mahu mereka yang kurang terima perkhidmatan, atau mereka yang tiada akaun perbankan terperangkap dalam hutang, satu mekanisme untuk memastikan pembayaran tidak berdasarkan kadar faedah yang tinggi perlu diterokai,” jelasnya.

Minggu lepas Bank Negara Malaysia mengumumkan lima pemohon yang berjaya untuk lesen bank digital, yang mana tiga daripadanya dimiliki majoriti rakyat Malaysia.

Pemohon berikut, seperti yang diluluskan Kementerian Kewangan, akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013:

* konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Bhd
* konsortium diketuai GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd
* konsortium diketuai Sea Ltd dan YTL Digital Capital Sdn Bhd

Sementara itu, dua pemohon ini akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013:

* konsortium AEON Financial Service Co Ltd, AEON Credit Service (M) Bhd dan MoneyLion Inc
* konsortium diketuai KAF Investment Bank Sdn Bhd

Tambah Razman, lebih banyak syarikat milik majoriti rakyat Malaysia harus diberi peluang pada masa hadapan.

“Semoga lebih banyak lagi syarikat Malaysia akan diberikan lesen untuk memberi bantuan kewangan kepada golongan yang kurang berkemampuan iaitu mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau berpendapatan rendah,” katanya.

Kira-kira 29 bank memohon lesen itu, manakala Bank Negara sebelum ini menyatakan hanya lima syarikat akan diberikan kebenaran.

Bank pusat sepatutnya menamakan pemegang lesen pada 30 Mac tetapi menangguhkannya untuk menyelesaikan “proses undang-undang”.

Antara keperluannya ialah dana modal minimum RM100 juta dalam fasa asas, yang mesti mencecah RM300 juta menjelang tahun ketiga beroperasi. – 3 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen