Tidak perlu semakan rambang status Covid-19, kata MMA


Ravin Palanisamy

Kerajaan membatalkan keperluan orang ramai untuk mengimbas kod QR MySejahtera apabila memasuki premis atau di mana-mana tempat awam mulai 1 Mei. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2022.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak perlu membuat pemeriksaan rambang terhadap status pekerja dan pengunjung di premis perniagaan, kata Persatuan Perubatan Malaysia.

Presidennya Dr Koh Kar Chai tidak bersetuju dengan menteri Alexander Nanta Linggi, yang semalam berkata tindakan penguatkuasaan di bawah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan diambil terhadap pengunjung atau pekerja yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

“MMA tidak melihat keperluan untuk penguatkuasaan yang begitu ketat pada peringkat ini kerana kita sedang dalam peralihan kepada keadaan normal.

“Penguatkuasaan ketat jenis ini perlu pada peringkat awal sebelum penduduk diberi vaksin dan kemasukan ke hospital adalah tinggi. Kita bertambah baik dengan ketara sekarang dalam pengurusan wabak itu,” kata Koh dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementerian membatalkan keperluan orang ramai untuk mengimbas kod QR MySejahtera apabila memasuki premis atau di mana-mana tempat awam mulai 1 Mei.

Beliau berkata semua individu, tanpa mengira status vaksinasi kini boleh memasuki semua premis, kecuali mereka yang positif Covid-19 dan di bawah Perintah Pengawasan Rumah (HSO).

Semalam, Nanta berkata semakan rambang terhadap status pekerja dan pelawat di premis perniagaan akan dijalankan di seluruh negara bagi menghentikan penularan virus itu.

Koh berkata sekarang adalah masa untuk kerajaan mempercayai pemilik perniagaan dan orang ramai, sambil menambah selama ini orang ramai telah menyedari risiko dan kemungkinan akibat virus itu.

“Perniagaan amat menyedari kesan Covid-19 yang berpotensi terhadap perniagaan dan oleh itu kita harus mempercayai pemilik perniagaan dan orang ramai untuk mengambil semua langkah berjaga-jaga yang diperlukan.

“Penguatkuasaan ketat sebegini malah boleh dilihat sebagai regresif dan akan mengundang kemarahan pemilik perniagaan dan orang ramai. Kita benar-benar harus secara beransur-ansur menjauhi dasar sekatan.

“Selepas dua tahun wabak, rakyat sepatutnya tahu apa yang sepatutnya mereka lakukan untuk melindungi diri, keluarga dan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi garis panduan Covid-19 yang ditetapkan dan mengamalkan disiplin diri bagi mengelak peningkatan kes.

Sementara itu, Koh juga berkata penguatkuasaan Akta 342 diserahkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan kerana darurat yang diisytiharkan sebelum ini sudah dibatalkan.

“Kedua-dua aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan berkaitan Akta 342 hendaklah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan,” tegasnya. – 1 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen