Kesatuan sekerja perlu tambah ahli untuk perjuang hak pekerja, kata Loke


Anthony Loke berkata kadar ahli kesatuan sekerja yang rendah di Malaysia membimbangkan kerana ia memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2022.

KESATUAN sekerja di Malaysia perlu menarik lebih ramai ahli kerana mereka memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak pekerja, kata Anthony Loke dari DAP dalam perutusan Hari Pekerjanya.

Setiausaha agung parti itu berkata adalah membimbangkan apabila kadar penyatuan kesatuan yang rendah iaitu 6% dalam kalangan pekerja Malaysia tidak termasuk penjawat awam.

“Saya menggesa kesatuan kita untuk menjadi lebih fleksibel dan kreatif dalam pendekatan mereka untuk menarik keahlian dan mendekati generasi muda,” kata Loke dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya ini perlu kerana lebih ramai orang bekerja dalam sektor perkhidmatan, ekonomi gig dan syarikat yang lebih kecil.

“Masa depan tenaga kerja di Malaysia lebih cerah jika kerjasama tiga hala antara kesatuan sekerja, majikan, dan kerajaan bergerak lancar. 

“Dengan infrastruktur dan daya upaya kesatuan yang kukuh, majikan dan kerajaan dapat bekerjasama dengan ahli kesatuan sekerja dan pekerja untuk memperkenalkan dasar yang boleh meningkatkan kesejahteraan, upah, dan produktiviti pekerja di setiap peringkat,” kata ahli Parlimen Seremban itu. 

Beliau juga menggesa kesatuan sekerja untuk mendesak lebih banyak pembaharuan buruh berikutan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 yang berkuat kuasa hari ini.

Pembaharuan dan penambahbaikan dasar kerajaan yang lain diperlukan supaya majikan dan pekerja boleh mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi, kata Loke.

Beliau juga menggesa kesatuan sekerja supaya tidak takut dengan proses automasi dan langkah Industri 4.0 lain kerana ini akan meningkatkan kecekapan dan menyediakan platform untuk meningkatkan gaji pekerja sedia ada.

Loke menggesa kerajaan menjadikan proses pengambilan pekerja asing lebih telus.

“Proses pengambilan pekerja asing juga harus dibuat lebih telus supaya hak pekerja ini sentiasa terpelihara, sebelum dan selepas tiba di Malaysia,” katanya.

Loke juga menggesa usaha lebih besar bagi memastikan enam juta pekerja yang belum menyertai Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) berbuat demikian supaya mereka dilindungi jika mereka kehilangan pekerjaan.

“Kita mesti menggandakan usaha untuk memperluas perlindungan sosial ini kepada lebih ramai pekerja Malaysia termasuk mereka yang tidak mempunyai kontrak pekerjaan rasmi seperti pemandu ride-hailing dan pekerja gig lain,” katanya.

Beliau juga menggesa dasar yang lebih kreatif dan jangka panjang bagi membantu pekerja menambah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka berikutan pengeluaran khas daripada tabung itu semasa pandemik Covid-19.

Berkenaan perjuangan menentang buruh paksa Loke berkata Malaysia sudah meratifikasi Protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa 2014 (ILO P29) yang mewajibkan kerajaan untuk melakukan pembaharuan dan menunjukkan kemajuan ke arah mencegah, menjenayah, dan mendakwa aktiviti buruh paksa.

Beliau berkata pihak berkuasa harus bekerjasama dengan syarikat seperti Facebook dan Google untuk membanteras iklan dalam talian yang sengaja mahu memperdaya belia tempatan yang sedang mencari peluang pekerjaan.

“Dasar buruh yang progresif adalah ciri negara yang benar-benar maju yang mesti diperjuangkan oleh Malaysia,” kata Loke. – 1 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen