Kit Siang kesal timbalan pengerusi PAC tolak siasat kes berprofil tinggi


Lim Kit Siang sedar peluang melibatkan PAC dalam kes kapal selam Scorpene dan pembunuhan Altantuya Shaariibuu adalah rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2022.

TINDAKAN timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menolak siasatan urus niaga kapal selam Scorpene 2002 dan kematian warga Mongolia Altantuya Shaariibuu menamatkan “langkah paling berani dan kreatif” untuk menyelesaikan isu itu, kata Lim Kit Siang hari ini.

Lim berkata beliau sedar peluang melibatkan PAC dalam dua kes ini adalah rendah.

“Timbalan Pengerusi PAC Azizah Mohd Dun menolak cadangan saya supaya PAC menyiasat kes rasuah kapal selam dan untuk menentukan motif pembunuhan Altantuya.

“Beliau berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah badan yang tepat untuk menyiasat kes kapal selam itu manakala kes Altantuya adalah kes polis.

“Cadangan saya agar PAC menyiasat kes rasuah kapal selam Scorpene 2002 dan untuk menentukan motif pembunuhan Altantunya adalah langkah paling berani dan kreatif untuk menyelesaikan kedua-dua persoalan,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan.

Tetapi beliau menambah, untuk membolehkan ia direalisasikan, kesemua 14 anggota PAC mesti bersetuju.

 Ini akan menjadi masalah kerana majoriti sembilan ahli adalah daripada parti kerajaan, katanya.

 Azizah menolak gesaan Lim supaya jawatankuasanya menyiasat dua isu itu, dengan mengatakan SPRM adalah badan yang tepat untuk menyiasat kes kapal selam itu.

 Bagi kes Altantuya, beliau berkata ia adalah kes polis.

Terdahulu semalam, Lim mencadangkan PAC menyiasat  dua kes itu susulan tindakan pendakwaan kerajaan Perancis terhadap Thales kerana bersubahat dalam urus niaga rasuah kapal selam Scorpene di Malaysia dua dekad lalu.

Beliau juga berkata PAC perlu mempertimbangkan untuk menyoal siasat dua bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, yang disabitkan dengan pembunuhan Altantuya.

Azilah dihukum mati manakala Sirul mencari perlindungan di Australia. – 1 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen