MALAYSIA melaporkan 2,107 kes baharu Covid-19 semalam, terendah dalam tempoh lebih setahun.
Kali terakhir negara mencatatkan lebih sedikit kes berbanding semalam ialah pada 19 April di mana 2,078 kes dicatatkan.
Kes harian kekal di bawah 10,000 kes selama 16 hari berturut-turut menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sejak permulaan itu kepada 4,448,004.
Terdapat juga lima kematian Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kematian kepada 35,547.
Selangor menyumbang jumlah kes terbanyak semalam dengan 1,040 diikuti oleh Kuala Lumpur (191) dan Pulau Pinang (146).
Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kes baharu ialah Perak (123), Negeri Sembilan (120), Johor (111), Melaka (91), Sarawak (66), Pahang (61), Sabah (48), Kedah (43), Putrajaya (26), Terengganu (22), Kelantan (15) dan Perlis (4).
Hanya Labuan yang tidak melaporkan sebarang kes baharu.
Daripada lima kematian yang dilaporkan, dua di Kedah masing-masing satu di Johor, Pahang dan Terengganu.
Kes aktif menurun kepada 45,506 apabila 6,890 kes pulih dicatatkan.
Sebanyak 44,214 atau 97.2% daripada kes aktif adalah mereka yang menjalani kuarantin di rumah, 33 (0.1%) di pusat kuarantin berisiko rendah dan 1,190 (2.6%) di hospital.
Seramai 69 daripada mereka dimasukkan ke unit rawatan rapi di mana 45 daripada mereka diintubasi. – 1 Mei, 2022.
Komen