KETEGANGAN di antara bekas menteri besar Johor dengan speaker ketika upacara angkat sumpah jawatan minggu lalu hanyalah perkara kecil, kata penganalisis dan pemimpin parti.
Namun mereka juga lihat kenyataan bekas menteri besar Hasni Mohammad dalam DUN Johor itu sebagai teguran positif dan speaker tidak patut membangkitkan kenyataan mengguris perasaan.
Mereka mengulas insiden yang timbul ekoran teguran Adun Benut tersebut ke atas Speaker Ahmad Puad Zarkashi selepas speaker tersebut mengingatkan ahli dewan agar menjaga tingkah laku.
Seorang pemimpin Umno Bahagian Johor berkata, teguran Hasni hanyalah sebagai seorang yang berpengalaman luas sebagai Adun Johor berbanding Puad, yang baru pertama kali di jawatan itu.
Hasni menjadi Adun sejak 2008 dan bertahan selama tiga penggal. Sebelum itu Hasni pernah menjadi ahli Parlimen Pontian pada 2004.
Puad pula walau tidak pernah menjadi Adun, beliau berpengalaman sebagai ahli Parlimen Batu Pahat dan pernah menjadi timbalan menteri.
“Tapi tidak berpanjangan, cuma ketika itu sahaja. Hasni bercakap sebab dia duduk lama di kerusi DUN, Puad pula baru pertama kali,” katanya yang enggan identitinya didedahkan.
Dalam insiden itu, Puad sewaktu ucapannya memetik titah Sultan Johor pada Ogos tahun lalu yang kepada wakil rakyat agar tidak menjadikan Dewan tersebut sebagai sangkar beruk.
Ketegangan timbul apabila Hasni bangkit menegur Puad yang kemudian menuduh wakil rakyat Benut itu tidur dan tidak memahami keseluruhan konteks ucapan beliau sewaktu upacara tersebut.

Mengulas perkembangan tersebut, ketua bahagian Umno itu berkata pertikaian tersebut hanyalah perkara kecil seperti pertengkaran di antara anggota keluarga.
Beliau melihat insiden tersebut sedemikian kerana Umno menguasai Dun Johor dengan majoriti besar dan speaker bertindak demikian untuk bertindak secara saksama.
“Dah macam budak-budak. Apa yang Hasni cakap itu betul kita sebagai ahli politik kena cakap kita akan jaga Dewan baik-baik.
“Hasni tegur, dia (Puad) pun panas, itu kira untung kita majoriti.
“Nak jadi speaker kena seimbang. Tetapi apa yang berlaku antara speaker dengan Hasni itu hal antara anak-beranak jugalah,” kata pemimpin Umno itu.
Penganalisis Awang Azman Awang Pawi juga berpandangan isu itu tidak lebih sekadar teguran Hasni sebagai bekas menteri besar yang kritikal terhadap kerajaan selepas pentadbirannya.
Lebih-lebih lagi, Puad juga hanya mengulangi semula titah yang pernah dikeluarkan Sultan Johor dan bukannya kenyataan beliau sendiri, kata pengkaji Universiti Malaya itu.
“Saya ingat perkara ini bukanlah satu isu besar dan tak perlu dibesarkan… Apabila Hasni tak menjadi menteri besar lagi tentulah beliau mempunyai nostalgia pentadbirannya lebih baik dan cemerlang.
“Jadi apa-apa sahaja beliau melihat perkara tak wajar, beliau akan ketengahkan kerana masih ingat zamannya sebagai menteri besar tapi perubahan telah berlaku dan menyebabkan beliau menjadi kritikal dalam kerajaan,” kata Awang Azman.
__full.jpg)
Seorang lagi penganalisis, Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia pula melihat teguran yang Hasni lebih bertujuan mewujudkan budaya positif berbanding menimbulkan ketegangan.
“Perbezaan pandangan antara pimpinan Johor memang ada tapi teguran Hasni nak wujudkan budaya positif.
“Hasni orang baik, budi pekerti tinggi sebagai menteri besar. Beliau matang, jadi benda sensitif yang agak tak berapa sedap dengar, bagi dia bukan benda sepatutnyalah,” kata Mazlan.
Beliau berkata, Puad sebagai speaker yang baharu dilantik juga seharusnya lebih lunak dan tidak terlalu agresif yang dikhuatiri mengguris hati sesetengah pihak.
“Speaker tak payah bangkitkan benda yang guris perasaan orang. Sebaiknya fokus pada apa benda yang baik dan mahu dicapai.
“Barisan Nasional dapat manfaat besar, Puad orang baru yang kembali dalam politik Johor.
“Mungkin Hasni ada sasaran sebelum ini untuk Johor, jadi negeri maju. Mungkin dia rancang program dan harapkan pengganti dia teruskan.
“Apabila speaker dah mula (tegur) macam ini mungkin bertentangan aspirasi dia sebagai menteri besar dahulu,” kata Mazlan lagi.
Puad yang juga Adun Rengit dilantik sebagai speaker sewaktu istiadat dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15 pada 21 April lepas.
Adun Semarang Samsol Bari Jamali pula diangkat menjadi timbalan speaker.
Kesemua 56 Adun Johor baharu mengangkat sumpah selepas BN menang majoriti dua pertiga dalam pilihan raya negeri bulan lalu. – 1 Mei, 2022.
Komen