Adakah bank digital akan bantu rakyat terpinggir, soal Saifuddin


Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail turut mempersoalkan hanya 1 syarikat milik Bumiputera yang menerima lesen bank digital. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2022.

BANK digital sepatutnya berkhidmat untuk kumpulan rakyat terpinggir yang tidak mempunyai akses kepada sistem perbankan konvensional, kata Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Setiausaha agung PKR itu mempersoalkan jika mana-mana daripada lima konsortium yang diberikan lesen perbankan digital itu akan membantu kumpulan berpendapatan rendah seperti penjaja, peniaga pasar malam dan luar bandar.

”Saya tidak terfikir konsortium besar yang dapat lesen ini akan tolong rakyat biasa yang berniaga pasar malam, jual gorengan, buka warung tepi jalan di Baling, Padang Terap, Bachok, Hulu Terengganu.

”Apa lagi konsortium ini ada yang ofis mereka di Singapura. Syarikat mereka tersenarai di sana dan di Amerika. Kerajaan Malaysia beri mereka lesen bank digital untuk beroperasi di Malaysia.

“Bank digital ini paling kurang mesti orientasinya ikut mainkan peranan macam Gramin Bank dan Amanah Ikhtiar. Membela golongan terpinggir dan tertinggal oleh bank konvensional!” kata ahli Parlimen Bandar Baharu Kulim itu menerusi kenyataan di Facebooknya.

Semalam, Bank Negara Malaysia mengumumkan lima pemohon yang berjaya mendapatkan lesen bank digital.

Tiga daripadanya dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 iaitu konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Berhad, konsortium GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd, serta konsortium Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd.

Dua lagi konsortium dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, iaitu konsortium AEON Financial Service Co Ltd, AEON Credit Service (M) Berhad dan MoneyLion Inc serta konsortium diketuai KAF Investment Bank Sdn Bhd.

Daripada lima konsortium itu, tiga mempunyai majoriti kepentingan rakyat Malaysia iaitu Boost Holdings dan RHB Bank Berhad; Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn. Bhd.; dan KAF Investment Bank Sdn. Bhd.

Saifuddin turut mempersoalkan kekurangan bumiputera yang menerima lesen bank digital itu.

Katanya banyak syarikat teknologi kewangan bumiputera yang mampu dan layak menerima lesen itu.

“Dari 5 syarikat yg dapat hanya 1 milik bumiputra. Saya yakin banyak terdapat syarikat fintech bumiputra yang terlebih layak utk diberi lesen. Ini isu lain dan kita boleh syarah kemudian.”

29 konsortium kewangan memohon lesen itu dengan BNM sebelum ini menyebut hanya lima syarikat dengan kepakaran dan kecelikan teknologi tertinggi akan diberikan lesen berkenaan.

Antara syarat ditetapkan bank pusat adalah dana asas minimum RM100 juta pada fasa penubuhan dan perlu mencapai RM300 juta pada tahun ketiga operasi. – 30 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen