Musim cuti panjang bermula, Beijing perketat usaha kekang Covid-19


Beijing menawarkan ujian saringan Covid-19 secara percuma kepada penduduknya bermula Selasa lalu. – Gambar AFP, 30 April, 2022.

BEIJING akan memperketatkan sekatan Covid-19 dengan keperluan saringan tambahan, umum kenyataaan rasmi hari ini, ketika musim cuti Hari Buruh disambut dengan lonjakan jangkitan wabak di ibu kota itu.

Cuti selama lima hari itu biasanya adalah musim tersibuk di China, tetapi gelombang terkini Covid yang terburuk sejak pandemik bermula menyebabkan penduduknya berkurung di rumah.

Berdepan dengan varian Omicron yang sangat mudah berjangkit, pengawai menggandakan usaha melaksanakan dasar sifar Covid bermatlamat mengekang kluster jangkitan dengan saringan massa dan pengurungan pergerakan.

Walaupun berdepan kerugian ekonomi dan kemarahan rakyat, Beijing mengumumkan ia akan terus memperketatkan akses kepada ruang awam selepas musim perayaan berakhir.

Bermula 5 Mei, ujian negatif Covid yang diambil dalam tempoh tujuh hari sebelumnya diperlukan untuk memasuki “semua jenis ruang awam dan menaiki pengangkutan awam”, menurut notis dikeluarkan bandaraya itu di WeChat.

Untuk aktiviti massa seperti sukan dan perjalanan berkumpulan, peserta perlu menunjukkan ujian negatif Covid yang diambil dalam tempoh 48 jam, berserta bukti “vaksinasi penuh”, menurut peraturan baharu itu lagi.

China melaporkan lebih 10,700 kes jangkitan tempatan hari ini termasuk kes tanpa gejala, dengan kebanyakan kes dilaporkan di pusat ekonomi negara itu, Shanghai.

Bandaraya itu yang sudah ditutup sejak sebulan lepas selepas menjadi pusat wabak terbaru merekodkan lebih 10,100 kes baharu hari ini, hampir separuh daripada kes yang dilaporkan awal bulan ini.

Di Beijing, 54 kes baharu direkodkan menurut Suruhanjaya Kesihatan Nasional.

Bandar itu memberikan ujian saringan Covid secara percuma kepada penduduknya bermula Selasa lalu, lapor media negara itu. – AFP, 30 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen