PREMIS perniagaan perlu terus berhak melihat status kesihatan orang awam di aplikasi MySejahtera ketika memasuki premis, walaupun kerajaan menetapkan tidak perlu lagi mengimbas daftar masuk, kata kumpulan peruncit.
“Pemilik perniagaan perlu dibenarkan untuk meminta status MySejahtera mana-mana individu yang mahu masuk ke premis mereka, jika dirasakan perlu, terutama restoran kerana pelanggan perlu membuka pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Persatuan yang mengeluarkan kenyataan itu ialah Persekutuan Peruncit dan Francais Asean, Persatuan Peruncit Bumiputera, Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia, Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia, Persatuan Peruncit Malaysia dan Persatuan Pusat Beli-belah Malaysia.
Kementerian Kesihatan tidak lagi mewajibkan daftar masuk di aplikasi itu di premis bermula esok.
Bagaimanapun, mereka yang berisiko tinggi atau status positif Covid dan dikenakan perintah kuarantin kendiri di rumah tidak dibenarkan masuk mana-mana premis, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Kumpulan peruncit itu mengingatkan orang ramai supaya memastikan keselamatan semua orang daripada Covid-19 kerana ia tanggungjawab bersama, membabitkan pihak berkuasa, pemilik premis dan individu.
“Kita sokong sepenuhnya perlunya individu mematuhi peraturan untuk memastikan persekitaran selamat untuk semua orang dan masyarakat,” katanya. – 30 April, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen