Umno tidak tahu Ku Li runding dengan Amanah, kata Mahdzir Khalid


Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid berkata parti itu tidak tahu tentang perbincangan Tengku Razaleigh Hamzah dengan pimpinan Amanah Kelantan untuk bekerjasama bagi menghadapi PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2022.

UMNO tidak tahu-menahu tentang perbincangan Tengku Razaleigh Hamzah dengan pimpinan Amanah Kelantan untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata naib presidennya Mahdzir Khalid.

Tindakan ahli Parlimen Gua Musang yang juga veteran Umno itu di luar pengetahuan parti dan hanya diketahui melalui laporan media, katanya.

“Kita tidak mendapat maklumat tentang pertemuan Ku Li dari parti. Ku Li mungkin bertindak seorang diri sahaja. Kita daripada parti (kepimpinan Umno), kita tidak tahu apa beliau buat.

“Cuma kita dapat tahu (pertemuan Tengku Razaleigh dan Amanah Kelantan) dalam media sahaja apa yang beliau buat,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian di Kuala Nerang.

Media minggu ini melaporkan Tengku Razaleigh akan mengetuai gabungan kerjasama politik yang dinamakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan untuk berhadapan dengan PAS pada PRU15.

Usaha mengenai kerjasama itu menjadi tumpuan ekoran pertemuan pemimpin tertinggi Amanah Kelantan bersama Tengku Razaleigh dalam majlis berbuka puasa hujung minggu lalu.

Ia dilaporkan disertai Pengerusi Amanah Kelantan Muhammad Hussin, bekas pengerusi Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan pemimpin sayap pemudanya Hazmi Hassan.

Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed berkata program pertama gabungan itu akan diadakan pada 7 Mei ini.

“Tahniah dan terima kasih kepada ayahanda ambo Ku Li (Tengku Razaleigh) kerana sudi mengepalai gerakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan yang merentas batas kepartian dan kepuakan.

“Amanah Kelantan bersedia bergabung tenaga dan memberi kerjasama yang sepenuhnya demi membawa dan menawarkan satu perubahan kepada rakyat Kelantan,” katanya dalam satu tulisan di Facebook.

Program itu dijangka bertembung dengan satu program lain yang digerakkan seorang lagi pimpinan Amanah Kelantan Husam Musa yang diberi nama Save Kelantan.

Menurut Che Ibrahim, program Save Kelantan bukan anjuran Amanah.

“Amanah tidak tahu menahu, tidak pernah diajak untuk dibincang, tidak pernah disebut dalam apa apa mesyuarat Amanah,” katanya.

PAS mentadbir Kelantan selepas menang pilihan raya umum 1990, ketika itu membentuk kerjasama dengan parti serpihan Umno, Semangat 46 yang diketuai Tengku Razaleigh dalam gabungan Angkatan Perpaduan Ummah. – 30 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen