Cari penyelesaian isu kanak-kanak tanpa warganegara, kata wakil rakyat DAP


Rohana Abdullah, anak kepada wanita Indonesia, memeluk ibu angkatnya, Chee Hoi Lan yang menjaganya sejak berusia dua tahun. Rohana menerima status kewarganegaraan Malaysia semalam. – Gambar Facebook, 30 April, 2022.

PUTRAJAYA perlu mencari penyelesaian untuk menamatkan derita kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Malaysia, kata wakil rakyat DAP Teo Nie Ching, susulan seorang wanita berusia 20 tahun berjaya memperoleh status warganegara dengan bantuan perdana menteri.

Rohana Abdullah, yang ditinggalkan ibu kandungnya warga Indonesia sejak lahir dan dijaga wanita Cina tempatan, menerima kerakyatan penuh semalam.

Teo berkata sudah tiba masanya untuk semua kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di negara ini dan dijaga ibu bapa angkat rakyat Malaysia, diberikan status warganegara.

“Saya merayu kepada kerajaan Keluarga Malaysia untuk mencari penyelesaian kekal untuk mengakhiri penderitaan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.

“Biarlah kesusahan mereka akhirnya didengar kali ini. Saya benar-benar berharap mereka tidak perlu tunggu hingga keluar di media sebelum menerima panggilan perdana menteri dan surat kelulusan Kementerian Dalam Negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu kewarganegaraan Rohana menarik perhatian media selepas diketahui dia dijadikan anak angkat oleh Chee Hoi Lan, 83. Rohana ditinggalkan ibunya, seorang warga Indonesia dan dijaga kira-kira 20 tahun oleh Chee yang juga guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.

Nasib Rohana sebelum ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang menghubunginya untuk membantu gadis itu dalam urusan dokumentasi status kewarganegaraan beliau.

Teo yang juga bekas timbalan menteri pendidikan mencadangkan semua kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di mana bapa mereka rakyat Malaysia, diberikan status warganegara dengan menyediakan laporan ujian DNA.

Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 19 November tahun lalu, Teo berkata semua kanak-kanak yang ditinggalkan sejak bayi dan tidak ditemui jejak ibu bapa kandung, sepatutnya layak menerima hak kewarganegaraan.

“Saya gembira untuk Rohana dan Chee, tetapi kita juga jangan lupa ada ramai lagi individu tiada kewarganegaraan yang melalui pelbagai pengalaman sukar di negara ini.” – 30 April, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen