Debat dengan Saravanan untuk jelaskan fakta buruh paksa, kata Ramasamy


P Ramasamy berkata debatnya dengan Menteri Sumber Manusia M Saravanan bukan untuk membuktikan siapa salah atau betul. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2022.

DEBAT dengan Menteri Sumber Manusia M. Saravanan bukan mengenai siapa betul atau salah, tetapi sekadar untuk menjelaskan fakta mengenai buruh paksa di negara ini.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy berkata responsnya terhadap Saravanan adalah ringkas dan berterus terang, mengapa minta agensi asing menyiasat buruh paksa sedangkan negara mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian.

“Saravanan menjawab dengan mengatakan saya tidak faham apa yang kementeriannya lakukan dan beliau akan ‘mendidik’ saya mengenai langkah diambil untuk mengurangkan buruh paksa.

“Respons beliau yang mahu ‘mendidik’ saya itu membawa kepada debat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada penganalisis politik yang berkata cadangan debat itu mesti menangani isu buruh paksa di negara ini dengan betul dan bukan hanya sebagai acara persembahan.

Penganalisis berkata debat itu, jika ia berlangsung, tidak sepatutnya untuk menunjukkan siapa lebih baik mewakili masyarakat India dan bukannya menangani isu yang diperbincangkan, iaitu buruh paksa.

Minggu lalu, Saravanan yang juga timbalan presiden MIC, menerima cabaran debat oleh Ramasamy daripada DAP selepas beberapa hari bertelagah mengenai bagaimana isu buruh paksa dikendalikan oleh kementerian.

Gesaan debat itu timbul selepas Saravanan meminta Kedutaan AS dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menyiasat dan memaklumkan kerajaan tentang contoh kerja paksa.

Ramasamy berkata sama ada debat itu boleh memberi penerangan mengenai fenomena buruh paksa yang berleluasa masih perlu dilihat keranaia belum ditetapkan.

“Malah perbincangan bukan debat tentang buruh paksa mungkin sudah memadai.

“Ia bukan mengenai politik berhubung siapa pemimpin masyarakat India.

“Jadi, debat bukan mengenai masyarakat India, tetapi mengenai fenomena yang nampaknya menjejaskan eksport barangan ke AS dan mungkin EU.”

Beliau berkata memandangkan debat itu belum berlaku, adalah tidak adil untuk bercakap sama ada ia mungkin membantu orang ramai untuk memahami buruh paksa.

“Debat itu bertujuan untuk melihat apa yang kerajaan lakukan mengenai buruh paksa dan sama ada perlu menghubungi Kedutaan AS atau ILO untuk menyelesaikan masalah itu.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, buruh paksa bukanlah satu aberasi tetapi sesuatu yang berstruktur.”

Ramasamy berkata ia tidak boleh dihapuskan dengan melenyapkan gejala seperti disarankan ILO.

“Perubahan pembangunan yang meluas diperlukan dengan memberi perhatian khusus kepada nilai buruh.

“Hanya apabila nilai buruh dihargai dan diberi ganjaran, barulah proses penghapusan buruh paksa dimulakan.

“Perdebatan bukan mengenai siapa yang mahu menyandang kepimpinan masyarakat India.”

Beliau menambah ia adalah mengenai memperbaiki keadaan buruh, persoalan hak asasi manusia.

“Dalam erti kata asas, perjuangan menentang buruh paksa adalah perjuangan berterusan terhadap degradasi manusia di tempat kerja. Ia adalah soal kemanusiaan.” – 30 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen