PENGGUNA rangkaian lebuhraya PLUS yang akan masuk atau keluar dari Plaza Tol Bandar Cassia (Jambatan Kedua Sdn Bhd-JKSB), bakal menikmati pengurangan atau diskaun sebanyak 30% sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Pengurangan kadar tol itu dikongsi dalam akaun Twitter PLUS Malaysia Berhad.
“Kepada pelanggan lebuhraya PLUS yang masuk atau keluar di Plaza Tol Bandar Cassia (Jambatan Kedua Sdn Bhd-JKSB) tidak akan menerima pemberian tol percuma, tetapi akan menerima diskaun tol sebanyak 30%. Hati-hati memandu dan semoga selamat sampai ke destinasi,” menurut kenyataan PLUS itu.
PLUS Malaysia Berhad turut berkongsi kenyataan media JKSB yang memaklumkan, pengguna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) bakal menikmati pengurangan atau diskaun sebanyak 30%, sekiranya masuk atau keluar dari Pulau Pinang melalui dua tol berlainan iaitu Plaza Tol Bandar Cassia dan Jambatan Kedua Pulau Pinang (JK2PP).
Tawaran itu diberikan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April (Sabtu) sehingga 11.59 malam pada 1 Mei (Ahad) serta pada pukul 12.00 tengah malam 7 Mei (Sabtu) sehingga 11.59 malam 8 Mei (Ahad) minggu hadapan.
Menurut kenyataan itu, pemberian diskaun berkenaan bersifat sementara selaras dengan pengumuman kerajaan Malaysia sempena sambutan Aidilfitri 2022. – Bernama, 29 April, 2022.
Komen