Saham Serba Dinamik diniagakan kembali pada 9 Mei


PENGGANTUNGAN urus niaga saham Serba Dinamik Holdings Bhd akan ditarik balik mulai jam 9 pagi pada 9 Mei depan.

Ia berikutan langkah syarikat itu mengumumkan antara lain, penemuan daripada Kemas Kini Penemuan Fakta (FFU) selaras dengan Arahan Bursa Malaysia (Perintah).

Dagangan dalam sekuriti syarikat itu digantung pada 27 Oktober 2021 kerana kegagalannya mematuhi Arahan Bursa Malaysia.

Bagaimanapun, Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan dapatan daripada FFU itu mengandungi pandangan Serba Dinamik dan komen serta bantahan ini tidak mewakili pandangannya mengenai perkara berkenaan dan bursa tidak akan bertanggungjawab untuk memeriksa ketepatan, kesempurnaan atau kecukupan mana-mana yang sama.

“Bursa Securities bagaimanapun, ingin menekankan kenyataan yang dibuat dalam pengumuman berkaitan pelantikan Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (E&Y), terma pelantikannya atau hakikat E&Y tidak menandatangani FFU dan kekurangan kuasa untuk mengeluarkan Arahan Bursa kepada Serba Dinamik, turut dibangkitkan oleh Serba Dinamik sebagai isu dalam prosiding sivil antara Bursa Securities dan Serba Dinamik dalam saman permulaan No. WA-24NCC-500-11/2021 dan WA-24NCC-535-11/2021,” katanya.

Isu itu ditolak Mahkamah Tinggi dalam dua set prosiding sivil masing-masing.

Bursa Securities turut mengulangi perintahnya juga memerlukan, antara lain, Serba Dinamik mengumumkan kesan FFU terhadap perniagaan, status kewangan termasuk operasi, melengkapkan semakan bebas khas (SIR) dengan E&Y dan menyediakan atau mengarahkan ejen atau kakitangannya untuk memberikan kemas kini bertulis dua minggu semakan kepada Bursa Securities.

Katanya, SIR itu belum selesai atau dimuktamadkan sehingga sekarang.

Juruaudit bebas Serba Dinamik, Nexia SSY PLT, yang terbabit mengaudit penyata kewangan bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 tidak menyatakan pendapat mengenai penyata kewangan itu kerana Nexia tidak dapat memperoleh bukti audit yang mencukupi dalam menyediakan asas bagi pendapat audit. – Bernama, 29 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen