MIC sedia tampil calon India Muslim, kata presiden


Presiden MIC turut berikrar menjaga dan membela nasib masyarakat India Muslim di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2022.

MIC bersedia menampilkan calon India Muslim pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika diperlukan.

Presiden MIC SA Vigneswaran berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat parti baru-baru ini.

“Kita memang tiada masalah. Jika ada tempat yang kita mempunyai tekanan, harus ada calon Islam atas sebab-sebab tertentu, kita bersedia kerana kita ada calon India Muslim yang boleh bertanding.

“Asalkan kerusi (tradisi) MIC ini kita yang bertanding dan kita yang buat keputusan siapa yang bertanding,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama presiden MIC di Kuala Lumpur malam ini.

Turut hadir Timbalan Presiden MIC M Saravanan.

Vigneswaran turut berikrar selain memastikan hak kaum India, MIC akan terus menjaga dan membela nasib masyarakat India Muslim di negara ini.

Utusan Khas Perdana Menteri ke India dan Asia Selatan berkata, parti berusia 76 tahun itu tidak pernah meminggirkan masyarakat India Muslim seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.

Beliau juga memberi jaminan anak India Muslim akan menerima hak sama rata dalam pemberian biasiswa dan pinjaman Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), entiti milik MIC.

Katanya, beliau juga akan berusaha menyelesaikan isu kewarganegaraan India Muslim yang masih tidak memiliki kad pengenalan.

Menyentuh keputusan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang ingin bergerak secara solo pada PRU15, Vigneswaran berkata, setakat ini, MIC bersetuju malah sedia menerima kerjasama dengan parti lain selepas pilihan raya itu jika ada yang berhasrat menyertai BN.

Pada PRU14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak, Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor); Port Dickson (Negeri Sembilan); Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).

Parti itu hanya menang dua kerusi iaitu Tapah dan Cameron Highlands. – Bernama, 29 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen