PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Menteri Hal Ehwal Luar Vivian Balakrishnan membalas surat rakan sejawatan masing-masing dari Malaysia pada Selasa (26 April) serta menjelaskan Nagaenthran K Dharmalingam melalui segala proses perundangan sewajarnya.
Jurucakap Kementerian Luar (MFA) dalam satu kenyataan menjawab pertanyaan media mengenai surat rayuan daripada pemimpin Malaysia mengenai pelaksanaan kehakiman Nagaenthran.
Pada Khamis (27 April), Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) memaklumkan kerajaan melalui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah sekali lagi menghantar surat kepada rakan sejawatan di Singapura minggu ini, meminta budi bicara pihak berkuasa Singapura mempertimbangkan untuk meringankan hukumannya.
Sebelum itu surat rayuan pertama kepada kerajaan Singapura dihantar Perdana Menteri dan Menteri Luar pada November 2021.
Pada Disember 2021, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mengutus surat kepada Presiden Republik Singapura supaya meringankan hukuman Nagaenthran.
Nagaentran, 34, menjalani hukuman gantung pada Rabu (27 April) di Penjara Changi, Singapura.
Berasal dari Perak, Nagaentran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura.
Nagaenthran sepatutnya dijadual menjalani hukuman pada 10 November 2021, tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah dimaklumkan dia positif Covid-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya.
Peguam Nagaenthran mendakwa dia kurang upaya dari segi intelek. – Bernama, 29 April, 2022.
Komen