Debat Saravanan-Ramasamy perlu tumpu isu buruh paksa, kata penganalisis


Noel Achariam

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata sedia menjelaskan permintaan yang dibuat kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan AS berhubung isu buruh paksa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2022.

DEBAT antara Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy perlu menangani isu buruh paksa di negara ini dengan baik, dan bukan hanya sekadar menjadi satu program persembahan, kata penganalisis.

Mereka berkata debat itu, jika benar-benar diadakan, jangan bertukar menjadi ruang untuk menunjukkan siapa lebih baik dalam mewakili masyarakat India, sebaliknya ia perlu mencari penyelesaian untuk isu berkenaan, iaitu buruh paksa.

Minggu lalu, Saravanan yang juga timbalan presiden MIC, menyahut cabaran Ramasamy, wakil rakyat DAP susulan beberapa hari bertikam lidah berhubung cara kementerian menangani isu buruh paksa.

Bagaimanapun, belum ada tarikh diumumkan untuk debat itu diadakan.

Pensyarah Institut Asia Universiti Tasmania James Chin berkata beliau percaya debat itu bertujuan menunjukkan siapa lebih bagus dalam mewakili masyarakat India.

“Seperti yang kita lihat, masyarakat India terpecah, dengan kebanyakannya menyokong PKR.

“Jadi saya percaya debat itu sebenarnya perlawanan antara Ramasamy, seorang pemimpin India yang senior dalam DAP dan Saravanan, pemimpin kanan MIC.”

Bagaimanapun, Chin berkata debat itu mungkin tidak akan diadakan dalam masa terdekat, dan ia hanya “cakap-cakap” saja kerana mereka tidak mahu mencetuskan kontroversi ketika sedang bersiap untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Jadi masanya tidak sesuai. Mereka akan terus bertikam lidah antara satu sama lain, tetapi debat itu mungkin tidak akan berlaku. Ia mungkin diadakan ketika hampir PRU nanti, tetapi bukan sekarang.

“Kita percaya mereka berdua akan terus saling menyerang menerusi media sosial, tetapi tidak ada apa yang akan berlaku.”

Desakan berdebat itu dibuat ketika kedua-dua pemimpin ini saling bertikam lidah mengenai isu buruh paksa di negara ini, terutamanya mengenai isu menteri meminta Kedutaan AS dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memaklumkan kerajaan mengenai siasatan buruh paksa. – 30 April, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen