Suruhanjaya Sekuriti lantik ketua kaunsel, pengarah baharu


Raevathi Supramaniam

Pengerusi eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Syed Zaid Syed Jaffar Albar meletak jawatan semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2022.

SURUHANJAYA Sekuriti melantik Yew Yew Tee dan Shamsul Bahriah Shamsudin masing-masing sebagai ketua kaunsel dan pengarah bagi menggantikan dua daripada tiga pegawai tertingginya yang meletak jawatan.

Dilaporkan awal hari ini pengarah urusan Foo Lee Mei, ketua kaunsel Chee Fei Meng dan pengarah eksekutif strategi digital dan inovasi Chin Wei Min meletak jawatan.

Yew akan menggantikan Chee sebagai pengarah eksekutif. Beliau kini memegang jawatan pengarah eksekutif perantara dan penyeliaan dana.

“Yew akan menggantikan Chee Fei Meng, yang memilih untuk tidak memperbaharui kontraknya apabila ia berakhir pada 15 April.

“Untuk memudahkan peralihan yang lancar, Chee akan terus berkhidmat dengan SC sehingga 30 Jun 2022,” kata SC dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Shamsul adalah ketua penyeliaan institusi semasa dan berkhidmat dengan SC selama 19 tahun.

Beliau akan menggantikan Yew sebagai pengarah eksekutif perantara dan penyeliaan dana.

SC juga mengesahkan Foo memilih untuk menamatkan perkhidmatannya pada 6 April dan akan menyampaikan notisnya sehingga 20 Mei 2022.

“Selain itu, pengarah eksekutif strategi digital & inovasi Chin Wei Min, pada 28 April, mengemukakan peletakan jawatannya dan akan memberikan notis dua bulan.”

Pengawal selia kewangan berkata, ia sedang mencari calon dalaman untuk menggantikan Chin.

Ia menyatakan peletakan jawatan pengarah urusan dan peguam amnya tidak dikaitkan dengan peletakan jawatan pengerusi eksekutif Syed Zaid Syed Jaffar Albar semalam.

Syed Zaid digantikan oleh Awang Adek Hussin, bekas ahli Parlimen Umno dan bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia. Syed Zaid, 67, berkhidmat sebagai pengerusi SC selama lebih tiga tahun.

Peletakan jawatan Syed Zaid dilaporkan susulan keputusan kontroversi Jabatan Peguam Negara menarik balik pertuduhan jenayah terhadap syarikat perkhidmatan minyak dan gas bermasalah Serba Dinamik Holdings Bhd dan empat eksekutif kanan, yang didakwa memfailkan penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia. – 29 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen