Ahli perniagaan gagal hidupkan saman terhadap Najib, Rosmah dan 3 lagi


MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini menolak rayuan seorang ahli perniagaan JR Deepak Jaikishan, adik lelakinya serta syarikat mereka untuk menghidupkan semula saman terhadap Najib Razak, isteri beliau Rosmah Mansor dan tiga lagi berhubung dakwaan wujud konspirasi sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian.

Azizah Nawawi, yang menyampaikan keputusan panel tiga hakim itu, berkata tiada unsur penipuan, konspirasi, salah laku dan penyalahgunaan proses dalam kes itu seperti yang didakwa oleh Deepak, J Rajesh dan Radiant Splendor Sdn Bhd.

Panel itu, yang turut terdiri daripada S Nantha Balan dan See Mee Chun, memerintahkan kedua-dua beradik serta syarikat mereka membayar kos berjumlah RM80,000.

Deepak, Rajesh dan Radiant Splendor, yang diwakili peguam V Sham Sunder, merayu saman mereka dihidupkan semula serta dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Saman mereka dibatalkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar pada 13 Januari 2020 selepas beliau membenarkan permohonan Najib, Rosmah, bekas Pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim, adik lelaki Najib iaitu Ahmad Johari Abdul Razak dan bekas Pengerusi Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad Shukry Mohd Salleh.

Dalam penyataan tuntutan yang difailkan pada 12 September 2018, semua plaintif mendakwa Najib bertindak di luar batasan serta menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan Bank Kerjasama Rakyat Berhad memfailkan pelbagai tindakan guaman terhadap mereka terutama kepada plaintif kedua iaitu Deepak.

Deepak mendakwa ia bagi menghalangnya daripada memberi keterangan lisan secara jujur ketika perbicaraan kes sivil berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu membabitkan Najib, Rosmah dan Ahmad Johari.

Plaintif juga mendakwa terdapat perjanjian bertarikh 24 Julai 2008 dengan Bank Kerjasama Rakyat Berhad atas arahan Shukry, yang bersetuju memberikan dan menyediakan kemudahan pembiayaan wang sehingga RM198,888,750 dan sebagai balasan, mereka perlu menyerahkan hak mutlak dan kepentingan terhadap 80 unit pangsapuri dalam pembangunan iaitu Kondominium Palazzio Tower B.

Dakwa plaintif, semua defendan melakukan tort konspirasi, penipuan, penyalahgunaan proses dan/atau perlakuan yang tidak mengikut undang-undang dalam mencapai perjanjian penyelesaian itu.

Plaintif juga mendakwa semua defendan berkonspirasi dalam menyebabkan kerugian terhadap mereka dan memohon setiap defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM10 juta, ganti rugi teladan RM2.6 juta dan ganti rugi berpanjangan.

Dalam penghakimannya, Azizah yang mempengerusikan panel itu, berkata tiada butiran yang mengaitkan Najib dan Rosmah dengan dakwaan perayu adalah proksi mereka atau bagaimana Najib dan Rosmah mendapat manfaat daripada perancangan membabitkan hartanah itu.

Beliau juga berkata, tiada perkaitan antara Abdul Azeez, Ahmad Johari dan Shukry dengan dakwaan tort konspirasi, penipuan, salah laku dan penyalahgunaan proses.

Pada prosiding hari ini yang berlangsung secara dalam talian, mahkamah mendengar hujah Sham Sunder dan peguam David Matthews yang mewakili Najib serta Rosmah; Dhinesh Bhaskaran bagi pihak Ahmad Johari, Porres Royan (Abdul Azeez) dan Farah Shuhadah Razali (Shukry).

Semua peguam responden berhujah rayuan itu hendaklah ditolak kerana saman yang difailkan terhadap anak guam mereka tidak dapat dipertahan.

Terdahulu, Sham Sunder turut berhujah anak guamnya proksi Najib serta isteri beliau dan terbabit dalam urus niaga hartanah bagi pihak mereka, sambil menambah kes itu melibatkan isu yang patut dibicarakan. – Bernama, 29 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen