FENOMENA gerhana matahari separa yang akan berlaku di benua Antartika dan Amerika Selatan pada Ahad ini boleh disaksikan melalui saluran Youtube dan Facebook Planetarium Negara bermula jam 2.30 pagi, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).
Gerhana matahari separa, kejadian gerhana pertama tahun ini dijangka berlaku mulai jam 2.45 hingga 6.37 pagi.
Fenomena itu tidak dapat disaksikan secara terus dari mana-mana lokasi di Malaysia, menurut kenyataan Mosti hari ini.
Mosti menerusi Planetarium Negara akan membuat penstriman langsung bagi membawakan imej gerhana itu secara langsung dari benua Antartika dan Amerika Selatan serta imej dari teleskop berdekatan kawasan kejadian.
“Siaran langsung ini akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari separa kali ini kerana ia tidak dapat disaksikan secara terus dari mana-mana lokasi di Malaysia,” katanya.
Fenomena gerhana itu akan dimulakan dengan fasa separa pada jam 2.45 pagi waktu Malaysia dan mencapai litupan maksimum pada jam 4.41 pagi waktu Malaysia dengan peratus litupan matahari maksimum mencecah sehingga 64% bergantung kepada lokasi pencerapan dan gerhana matahari separa ini dijangka berakhir pada jam 6.37 pagi waktu Malaysia.
Mosti berkata, lokasi paling awal dapat menyaksikan fenomena gerhana matahari separa itu adalah di kawasan Lautan Pasifik diikuti dengan sebahagian benua Antartika sebelum berakhir di benua Amerika Selatan dan sebahagian Lautan Atlantik. – Bernama, 29 April, 2022.
Komen