PERIKATAN Nasional perlu menguasai majoriti dalam pilihan raya umum akan datang supaya PAS berupaya melaksana undang-undang Islam, kata presidennya Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kelemahan PAS yang masih tidak berupaya menjadikan negeri Kelantan sebagai negeri Islamik, seperti dibangkitkan pemimpin Umno negeri itu.
Jelasnya, biarpun PAS kini menjadi sebahagian dari kerajaan persekutuan, ia tetap berdepan dengan kekangan kerana tiada satu parti berjaya menguasai majoriti di Putrajaya.
“Untuk PAS di Kelantan kita banyak nak buat pelaksanaan hukum undang-undang mengikut Islam namun kita terbatas.
“Apa yang kerajaan negeri boleh buat haramkan judi, arak. Negeri lain tak buat, kita buat di Kedah, Kelantan, Terengganu.
“Itu kejayaan kita lah tapi bidang kuasa tanah, dakwah, masalah majlis daerah bukan bidang kuasa kita,” katanya.
Tambahnya, PAS dapat menambah bidang kuasa kerajaan negeri yang termaktub dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan itu sekiranya menguasai Putrajaya.
“Tak ada parti yang ada majoriti dalam kerajaan pusat, (dapat) kawalan sepenuhnya, tak ada. Cuma kita tunggu pilihan raya ni sajalah kita ambil alih,” katanya di Marang, Terengganu.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub semalam yang dilaporkan mendakwa Kelantan belum cukup Islamik walau ditadbir PAS selama lebih 30 tahun.
Maksiat dan kemiskinan masih berleluasa di negeri itu walau dipimpin golongan digelar agamawan, katanya yang menawarkan untuk menjadikan Kelantan lebih Islamik di masa akan datang.
Menurutnya, BN akan menekankan usaha membasmi kemiskinan dan menawarkan pendidikan agama lebih baik dan penguatkuasaan jenayah syariah yang lebih serius. – 29 April, 2022.
Komen